PORTO, Portugal, 15 Feb – Sadio Mane mencatat hatrik ketika Liverpool berpesta gol membelasah Porto 5-0 di Estadio do Dragao, semalam untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara.
Mane mencetak gol pertama pada minit ke-25 dalam perlawanan pertama kelompok 16 terakhir, sebelum Mohamed Salah tampil menjaringkan gol ke-30 peribadi beliau musim ini, sekali gus menambah kelebihan The Reds empat minit kemudian untuk kedudukan 2-0 sebelum rehat.
Penyerang Senegal, Mane sekali lagi mencetak gol bagi menambah jaringan kedua buat dirinya pada minit ke-53 untuk mengenepikan terus cabaran tuan rumah, sebelum Roberto Firmino turut mencatat nama sebagai penjaring 20 minit kemudian bagi kedudukan 4-0.
Sebelum akhir perlawanan, Mane sekali lagi tampil untuk melengkapkan hatrik pertamanya pada saingan Liga Juara-Juara tersebut.
Sementara itu, Pengurus pasukan Liverpool, Jurgen Klopp, memuji wira hatrik, Sadio Mane, dan persembahan ‘sempurna’ pasukannya selepas mereka mara selangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara hasil kemenangan besar ke atas Porto.
Ketika ditanya sama ada Liverpool menampilkan persembahan sempurna Klopp berkata: “Ya. Anda boleh katakan begitu, sudah tentu.
“Ia amat profesional, sangat matang pada waktu yang betul, sangat agresif, bertahan dengan baik, menyerang balas dengan baik, mengawal bola, menggerakkannya ke sekeliling.
“Dalam perlawanan ini ia boleh dilakukan, biasanya tidak begitu mudah.”
Pengendali dari Jerman itu memuji kesungguhan penyerang bintangnya, selepas pasukannya mengatasi Porto dalam semua aspek permainan.
“Ketika rehat saya berkata, ‘situasi babak pertama ketika kita mendahului 2-0 adalah kerana Mo Salah memenangi kembali bola di tengah padang’.
“Itu yang anda perlukan dalam perlawanan sebegini, pertandingan seperti ini,” kata Klopp.
Mane adalah pemain kedua Liverpool menjaringkan hatrik Liga Juara-Juara di tempat lawan selepas Michael Owen melakukannya dua kali.
“Perkara yang paling penting ialah kami bermain sebagai satu pasukan, dan kami melakukannya, kami bermain dengan hebat dan kami mencipta banyak peluang,” kata pemain antarabangsa Senegal itu.
“Yang mana jaringan terbaik? Jaringan ketiga sangat mengembirakan saya kerana ia adalah jaringan yang bagus.” – AFP