The Reds boleh tebus kekalahan

BRIGHTON, United Kingdom, 11 Jan – Kritikan terhadap keputusan Jurgen Klopp dengan sembilan pertukaran sehingga tersingkir daripada Piala FA selepas kalah di tangan Wolves akan berakhir sekiranya Liverpool berjaya menjuara trofi Liga Perdana Inggeris buat kali pertama selepas 29 tahun, yang bermula di Brighton, esok.

Klopp merehatkan Alisson Becker, Andrew Robertson, Virgil van Dijk, Trent Alexander-Arnold, Georginio Wijnaldum dan Sadio Mane ketika tewas di Molineux Isnin lalu, manakala Mohamed Salah dan Roberto Firmino hanya membuat penampilan 20 minit sebelum perlawanan berakhir.

Kini, Liverpool telah tersingkir keluar daripada kedua-dua saingan domestik, namun ia tidak akan menjadi masalah sekiranya skuad kendalian Klopp berhasil mengekalkan jurang empat mata ke atas Manchester City di atas puncak Liga Perdana Inggeris.

Selepas berkunjung ke Amex esok, Liverpool akan berdepan tiga perlawanan di laman sendiri menentang Leicester, Crystal Palace dan Bournemouth termasuklah kunjungan ke West Ham sebelum bertemu Bayern Munich dalam saingan Liga Juara-juara.

Kelima-lima perlawanan liga itu memberikan platform terbaik buat Liverpool untuk mengutip mata penuh selepas kecewa tidak dapat mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Liga Perdana di tangan City sekali gus memberi peluang kepada City merebut gelaran.

“Dua kekalahan berturut-turut tidak bagus untuk kami. Namun ia adalah bagaimana anda bangkit selepas itu,” kata pemain tengah Liverpool, James Milner.

“Anda tidak akan pernah mara tanpa kesilapan. Saya rasa pada permulaan musim ini kami tidak bermain dengan baik namun masih mendapat keputusan yang bagus. Saya fikir anda sudah melihat karakter dalam skuad ini sejak beberapa tahun kebelakangan dan dengan pemain yang anda, kami akan bangkit semula,” tambahnya. – AFP