The Reds buru rekod EPL

LONDON, 6 JULAI – Sadio Mane membantu Liverpool meneruskan usaha mereka untuk mencipta rekod di Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan meraih mata tertinggi ketika juara itu berjaya mengalahkan Aston Villa 2-0 untuk mengembalikan jurang kedudukan 23 mata ke atas Manchester City, yang tewas di Southampton kelmarin.

Hanya empat hari selepas perlawanan City menewaskan Liverpool 4-0 sebagai tanda amaran bahawa mereka akan kembali mengejar kejuaraan musim depan selepas The Reds merangkul gelaran liga pertama dalam 30 tahun.

Liverpool kurang cemerlang dalam aksi mereka di separuh masa pertama di Stadium Anfield yang kosong sebagai juara, tetapi masih meraih tiga mata penuh selepas menemukan dua gol di 20 minit terakhir perlawanan.

Mane menjaringkan gol dari jarak dekat untuk gol ke-20nya musim ini menerusi hantaran daripada Naby Keita sebelum pemain gantian Curtis Jones melengkapkan kemenangan untuk jaringan kedua buat Liverpool. Hujung minggu lalu pemain berusia 19 tahun itu baharu sahaja menandatangani kontrak selama lima tahun untuk terus kekal bersama kelab.

Kemenangan menggerakkan Liverpool dengan mengumpul 89 mata dan mereka memerlukan empat kemenangan dari baki lima perlawanan mereka untuk melepasi rekod yang dipegang City dengan 100 mata sebagai juara bagi musim 2017-18.

“Kami berada di tempat yang cukup baik meskipun kami memenangi perlawanan yang sukar,” kata Klopp.

“Itu bukan persembahan yang cemerlang tetapi prestasi yang bagus untuk mengutip tiga mata.”

Villa kekal di zona penyingkiran, satu mata dari zon selamat ketika mereka bergelut untuk mengelakkan dari tersingkir. – AFP

Reaksi Sadio Mane semasa meraikan jaringan gol di perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Liverpool dan Aston Villa di Stadium Anfield, Liverpool, England, semalam. – AP