The Reds cari semula magis Anfield

LONDON, 9 APRIL – Liverpool akan kembali beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) esok menyedari mereka perlu menemui semula magis di laman sendiri atau berisiko menamatkan kedudukan di luar kelompok empat teratas sejak 2016.

Di tangga terbawah, Fulham ada peluang untuk naik daripada zon penyingkiran ketika Manchester United cuba membalas dendam terhadap Tottenham selepas dimalukan 6-1 awal musim ini.

Ketika Liverpool menewaskan Tottenham 2-1 di Anfield in pada pertengahan Disember, ia tampak seperti perlawanan biasa buat skuad kendalian Jurgen Klopp.

Namun mereka tidak mengetahui bahawa skuad itu perlu melalui saingan hingga April tanpa kemenangan di laman sendiri dan hanya dua gol dijaringkan. Juara bertahan EPL itu akan menanti kehadiran pasukan pertengahan liga, Aston Villa esok dengan peluang untuk kembali ke kelompok empat teratas sekurang-kurang buat sementara waktu.

Liverpool kalah 3-1 di tangan Real Madrid pada perlawanan pertama suku akhir Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu namun keputusan Liga Perdana minggu lalu memihak kepada mereka.

Klopp menggambarkan kemenangan 3-0 di Arsenal sebagai ‘keputusan sangat penting’ tetapi skuadnya perlu kembali menemui formula kemenangan di laman sendiri selepas enam kekalahan dalam liga.– AFP

Reaksi pemain Liverpool semasa perlawanan lalu di Stadium Anfield. – AP