LONDON, 16 Jan – Jurgen Klopp menegaskan, keputusan seri menentang Manchester United akan digunakan oleh Liverpool untuk mengelak daripada dimalukan kelab divisyen empat, Plymouth, dalam saingan Piala FA awal pagi Khamis ini.
Anak buah Klopp dinafikan kemenangan ke atas seteru tradisi United apabila Zlatan Ibrahimovic menanduk masuk gol penyamaan di Old Trafford, awal pagi tadi.
Penalti babak pertama James Milner meletakkan Liverpool di depan tetapi mereka gagal menambah jaringan dan menerima padah apabila Ibrahimovic meledak jaringan pada minit ke-84.
Liverpool kini ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Chelsea.
Keputusan seri tanpa jaringan turut dicatat ketika menentang Plymouth pada pusingan ketiga Piala FA di Anfield awal bulan ini, susulan keputusan Klopp merehatkan pemain bintangnya dan memasukkan barisan paling muda.

“Ramai menyangka pertemuan dengan United adalah penentuan baki saingan musim ini. Itu semua mengarut.
“Kami ke sana untuk menang sebab itu kami tidak berpuas hati 100 peratus. Saya berharap tuah bersama kami tetapi ia tidak berlaku. Saya masih boleh menikmati keputusan hari ini (awal pagi tadi) dan persembahan esok.” – AFP