LONDON, 29 OGOS – Chelsea, yang bermain dengan 10 pemain, terikat seri 1-1 di Liverpool selepas Reece James dibuang padang secara kontroversi, manakala Mikel Arteta menyeru anak buahnya di Arsenal untuk ‘mencermin diri sendiri’ selepas dimalukan 5-0 di Manchester City, kelmarin.
Juara Eropah, Chelsea, berada di hadapan menerusi tandukan Kai Havertz hasil sepakan penjuru Reece James pada minit ke-22.
Akan tetapi persaingan bagi merebut kejuaraan semakin dihangatkan apabila James dilayangkan kad merah pada ak-hir babak separuh masa pertama.
Pemain pertahanan Chelsea itu berada di garisan gol, menghalang bola percubaan Sadio Mane menggunakan paha dan kemudian tangan selepas tandukan Joel Matip terkena tiang gol.
Pengadil Anthony Taylor dinasihatkan untuk memeriksa monitor di tepi padang dan dia kemudian menghadiahkan sepakan penalti sebelum mengarahkan James keluar padang.

Pemain Chelsea dengan berang mengadu tetapi Mohamed Salah berjaya menyudahkan sepakan penalti sebelum satu lagi bantahan daripada pemain pertahanan The Blues, Antonio Rudiger dan penjaga gol, Edouard Mendy mencetuskan perang mulut di kawasan kotak penalti.
Liverpool mendominasi perlawanan semasa separuh masa kedua tetapi pertahanan Chelsea tetap kental, dengan Mendy turut melakukan beberapa aksi menyelamat.
Kedua-dua pasukan masih belum ditewaskan namun rekod 100 peratus mereka akhirnya lebur.
“Dengan kesungguhan, kami berjaya bertahan sepanjang perlawanan. Hasil kerjasama berpasukan di tahap tertinggi,” kata ketua jurulatih Chelsea, Thomas Tuchel.
“Kad merah tersebut sedikit sebanyak menjejaskan perlawanan. Saya tidak mempunyai penyelesaian untuk itu kerana ia adalah kad merah selepas dia cuba menafikan peluang tetapi bola tersebut turut terlantun. Saya mahu memeriksa (VAR) dengan lebih teliti.”
Sementara itu pengurus Liverpool berkata, “Segalanya sangat menyeronokkan kecuali keputusan akhir perlawanan. Separuh masa yang hebat daripada kami dan separuh masa kedua yang bagus kerana keadaan sangat rumit apabila anda bermain menantang sembilan orang pemain pertahanan.”– AFP