The Reds ikat Alisson Becker

LONDON, 5 OGOS – Penjaga gol Liverpool, Alisson Becker menandatangani kontrak baharu enam tahun bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu semalam.

Dia muncul antara penjaga gol terbaik dunia sejak tiba di Anfield dari Roma pada 2018 dengan harga £66 juta (AS$91 juta).

Alisson menjulang Liga Juara-Juara, EPL dan Piala Dunia Kelab bersama skuad Jurgen Klopp selain dinobatkan pemenang Anugerah Yashin UEFA selepas cemerlang membantu kempen Reds pada 2019.

Alisson juga penjaga gol pertama dalam sejarah Liverpool yang menjaringkan gol selepas menanduk jaringan kemenangan ke atas West Bromwich Albion pada Mei lalu.

Bintang Brazil berusia 28 tahun itu akan terus bersama Liverpool sehingga 2027 sekali gus pemain ketiga yang mengesahkan komitmen masa depan dengan Reds sejak seminggu lalu.

Pertahanan England, Trent Alexander-Arnold dan pemain tengah Brazil, Fabinho turut menandatangani kontrak jangka panjang.

“Saya rasa tak perlukan masa yang lama berfikir mengenainya,”kata Alisson dalam laman web kelab.

“Ia sesuatu yang kami bina sejak tiga tahun lalu, keyakinan dan kepercayaan saya terhadap kelab. Begitu juga apa yang ditunjukkan kelab kepada saya.

“Saya dan keluarga sangat gembira di sini. Anak-anak saya tiada masalah di England, negara berbeza tetapi mereka dapat menyesuaikan diri. Jadi, kami sangat gembira. Saya bangga dapat terus berada di sini dan keputusan kekal bersama kelab hebat ini tidak sukar untuk saya lakukan,” katanya. – AFP

Gambar fail pada 7 Mac lalu, penjaga gol Liverpool, Alisson semasa sesi pemanasan badan sebelum perlawanan EPL menentang Fulham di Stadium Anfield di Liverpool, England. – AP