The Reds kalah lagi, Klopp semakin bingung

LIVERPOOL, 8 MAC – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berkata beliau memerlukan ‘keajaiban’ untuk menyelesaikan krisis skuad bimbingannya selepas mengalami kekalahan kali keenam berturut-turut di tempat sendiri berikutan tewas 0-1 kepada kelab tercorot, Fulham di Anfield, semalam.

Juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu tersungkur daripada kedudukan pendahulu pada Disember tahun lalu dan terbaharu kemungkinan terlepas untuk layak beraksi di Liga Juara-Juara pada musim depan.

Liverpool kini menduduki tempat ketujuh, empat mata ketinggalan dengan pasukan empat teratas dan sudah beraksi lebih banyak berbanding saingan utama mereka yang lain untuk perebutan tempat ke Liga Juara-Juara.

Krisis kecederaan menghantui Liverpool terutamanya membabitkan pertahanan utama mereka, Virgil van Dijk, Joe Gomez dan Joel Matip.

Bagaimanapun Klopp kini turut menjadi tumpuan selepas melakukan tujuh pertukaran ketika tewas 0-1 kepada Chelsea, Khamis lalu dan rombakan itu masih tidak berhasil mengubah nasib Liverpool.

Reaksi pengurus Liverpool, Jurgen Klopp semasa perlawanan EPL antara Liverpool dan Fulham di Stadium Anfield, Liverpool semalam. – AP

“Kami tidak mempunyai momentum pada musim ini. Mereka masih mempunyai segala-galanya tetapi ketika ini gagal membuktikan kemampuan masing-masing.

“Saya memerlukan ‘keajaiban’ untuk mencari jalan penyelesaian bagaimana kami dapat melakukan perubahan secepat mungkin,” kata Klopp.

Peluang terbaik Liverpool untuk beraksi di Liga Juara-Juara pada musim depan adalah hanya dengan memenangi saingan itu buat kali ketujuh pada musim ini.

Skuad bimbingan Klopp akan berkunjung ke Budapest untuk aksi kedua peringkat 16 akhir bertemu Leipzig, Khamis ini selepas mendahului 2-0 pada perlawanan pertama.

Liverpool akan memerlukan peningkatan besar untuk menang dalam pertandingan kelab elit Eropah, kata Jamie Carragher, yang merupakan bekas pemain Liverpool dan pemenang Liga Juara-Juara 2005 bersama mereka.

Klopp sebelum ini melabelkan Liverpool sebagai ‘mentaliti raksasa’ untuk menggambarkan kejuaraan mereka musim lalu, namun kini Klopp mengakui mentaliti mereka boleh dipersoalkan.

“Reaksi bola sepak agak baik. Terdapat banyak pemain yang tidak berada di atas padang yang tidak dapat menjadi pemimpin pada masa ini. Itu jelas,” kata Klopp. – AFP