The Reds kutip tiga mata penuh

LIVERPOOL, 25 FEB – Liverpool menyamai rekod kemenangan 18 perlawanan berturut-turut di mana pendahulu liga tersebut berjaya mengalahkan West Ham 3-2, hasil jaringan minit akhir Sadio Mane pada perlawanan Isnin lalu.

Pasukan kendalian Jurgen Klopp nyaris tercicir mata buat kali pertama sejak keputusan seri menentang Manchester United pada 10 Oktober tahun lalu setelah ketinggalan pada separuh masa kedua di Anfield.

Georginio Wijnaldum berjaya meletakkan Liverpool di hadapan tetapi tidak lama selepas itu, Issa Diop berjaya menyamakan kedudukan. Pablo Fornals kemudiannya menambah jaringan buat West Ham, tetapi kecuaian penjaga gol West Ham, Lukasz Fabianski membolehkan Mohamed Salah menyamakan kedudukan dengan gol ke-19 beliau musim ini. Mane melengkapkan kemenangan Liverpool sembilan minit sebelum tamat perlawanan. Keputusan tersebut memberikan Liverpool kelebihan 22 mata dari pasukan tempat kedua, Manchester City. Sementara itu pengurus Liverpool, Jurgen klopp mengakui bahawa beliau tidak menyangka Liverpool membuat sesuatu yang ‘istimewa’ dengan berjaya menyamakan rekod menang berturut-turut, yang memerlukan empat kemenangan untuk merangkul piala Perdana Inggeris.

“Beberapa tahun lalu, tiga atau empat tahun lalu, pada permulaannya, saya berkata kami mahu mencatat cerita kami sendiri, kami mahu mencipta sejarah kami sendiri,” menurut Klopp. – AFP

Reaksi Sadio Mane semasa perlawanan tersebut. Kemenangan ke atas West Ham Isnin lalu menyamai rekod kemenangan 18 perlawanan berturut-turut buat Liverpool. – AP