The Reds menang meski tanpa Van Dijk

AMSTERDAM, 22 OKT – Jurgen Klopp tabik dengan semangat juang Liverpool yang beraksi tanpa Virgil van Dijk namun masih mampu menang 1-0 di Ajax dalam perlawanan pembukaan kempen Liga Juara-Juara (UCL) mereka, semalam.

Skuad Klopp dijangka beraksi tanpa Van Dijk untuk sepanjang musim ini selepas tonggak pertahanan tengah itu mengalami kecederaan lutut yang serius ketika menentang Everton minggu lalu.

Ramai menjangkakan Liverpool bakal bergelut tanpa Van Dijk tetapi pemain tengah Brazil, Fabinho tampil beraksi dengan cemerlang semalam bersama Joe Gomez di bahagian pertahanan.

Ketika Liverpool tidak berada pada tahap terbaik, tuah menyebelahi mereka apabila rembatan Sadio Mane terkena kaki pertahanan Ajax, Nicolas Tagliafico untuk jaringan sendiri pada separuh masa pertama memberikan permulaan positif dalam Kumpulan D buat Klopp.

Kemenangan itu menyuntik keyakinan kepada juara UCL 2019 itu yang mahu membuktikan tanpa Van Dijk mereka tetap bersemangat mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris dan pencabar kejuaraan Eropah.

Aksi penyerang Liverpool, Mohamed Salah ketika melakukan tendangan semasa perlawanan pertama Kumpulan Liga Juara-Juara UEFA antara Ajax Amsterdam dan Liverpool FC di Johan Cruijff Arena, Amsterdam semalam. – AFP

“Ia tidak sempurna tetapi mereka berjuang dengan cemerlang,” kata Klopp. “Kami tidak merebut peluang sepatutnya dan Ajax tidak bernasib baik apabila percubaan mereka terkena tiang gol.

“Apabila anda mendahului 1-0, apa sahaja boleh berlaku tetapi keseluruhannya saya gembira dengan permainan.

“Ia bukan bola sepak yang baik tetapi kami mahu tiga mata dan kami berjaya mendapatkannya.”

Van Dijk yang akan memerlukan pembedahan lutut setelah dikasari oleh penjaga gol Everton, Jordan Pickford dan kecederaannya muncul ketika Liverpool dibelasah teruk 7-2 di Aston Villa sebelum perlawanan antarabangsa minggu lalu.

The Reds tanpa bolos untuk ketiga kalinya musim ini adalah peningkatan besar buat Liverpool, yang menang buat pertama kalinya dalam tiga perlawanan walaupun tanpa pemain pertahanan Joel Matip dan pemain tengah Thiago Alcantara.

“Saya fikir kedua-dua pasukan dapat bermain bola sepak yang lebih baik. Beberapa saat perlawanan sedikit sukar. Padang dalam keadaan berlumpur selepas hujan,” kata Klopp. – AFP