The Reds mungkin tanpa pemain Brazil

MANCHESTER, 10 SEPT – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp (gambar) hari ini berkata dia masih belum mengetahui sama ada dia dapat menurunkan Alisson Becker atau Fabinho pada hujung minggu ini selepas Konfederasi Bolasepak Brazil meminta FIFA untuk menggantungkan pemain-pemain tersebut.

Kedua-dua pemain, termasuk Roberto Firmino, yang ketika ini mengalami kecederaan, dipilih untuk kelayakan Piala Dunia bulan ini di Amerika Selatan namun kelab-kelab Liga Perdana Inggeris enggan melepaskan mereka disebabkan tempoh pengasingan diri selama 10 hari ekoran koronavirus sebaik sahaja kembali ke Britain.

Ketua bola sepak Brazil meminta badan pengurusan FIFA untuk mengenakan penggantungan selama lima hari, hukuman ke atas kelab kerana enggan melepaskan pemain mereka.

Liverpool, yang menghuni tangga kelima di Liga Perdana Inggeris selepas tiga perlawanan, akan berkunjung ke Leeds pada Ahad ini.

Beberapa buah kelab termasuk Manchester City, Manchester United, Chelsea dan Leeds kesemuanya turut terjejas.

Perbincangan masih diteruskan, dengan kelab dari Liga Perdana Inggeris berkata keadaan yang tidak pernah berlaku dengan pandemik di seluruh dunia sudah cukup untuk menegakkan keputusan mereka. – AFP