HUDDERSFIELD, 21 Okt – Jurgen Klopp mendedahkan beliau sudah mendapat formula bagi merekodkan kemenangan dalam ‘perlawanan sederhana’ buat kali pertama sepanjang kerjayanya sebagai pengurus selepas Liverpool.
Liverpool sekadar menang tipis 1-0 ke atas Huddersfield pada saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.
Keputusan itu menyaksikan The Reds kini berkongsi mata dengan pendahulu liga, Manchester City dengan mengumpul 23 mata, tetapi berada di tangga kedua dengan perbezaan jaringan.
Mohamed Salah muncul wira apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-24, hasil lorongan cantik Xherdan Shaqiri iaitu gol ke-50 buat kelab Inggeris itu.
Dalam aksi pagi tadi, Liverpool terpaksa bekerja keras untuk meraih tiga mata, manakala Huddersfield yang gagal menjaringkan gol dalam lima perlawanan di laman sendiri musim ini tidak bernasib baik bagi meraih sekurang-kurangnya satu mata.

Klopp membina reputasi yang menakjubkan di bahagian serangan dengan Liverpool muncul pasukan kedua tertinggi berjaya menjaringkan gol dalam saingan musim lalu, namun ketinggalan di belakang City yang muncul juara.
Bagaimanapun, musim ini mereka hanya berkongsi kedudukan keempat bersama Tottenham dan Bournemouth sebagai pasukan yang menjaringkan gol paling banyak selepas sembilan perlawanan.
City mendahului kedudukan pasukan paling banyak menjaringkan gol diikuti Chelsea dan Arsenal.
Namun, Liverpool mempamerkan peningkatan di benteng pertahanan apabila hanya melepaskan tiga gol iaitu pencapaian terbaik di bahagian pertahanan selepas sembilan perlawanan liga setakat ini.
“Ini adalah kali pertama saya memenangi perlawanan sederhana. Ia memang betul.
“Kami tidak boleh bercakap soal memenangi trofi pada malam ini, (awal pagi tadi), tetapi ada banyak cara berbeza untuk memenangi perlawanan.
“Ada satu cara untuk meraih gelaran dan ia adalah dengan memenangi perlawanan. Namun, ada masanya saya lebih gemarkan cara yang lebih hebat.
“Apa yang kami capai setakat ini adalah luar biasa iaitu 23 mata. Saya fikir saya belum pernah merasainya selepas sembilan perlawanan,” kata Klopp selepas tamat perlawanan.
Klopp menyifatkan Liverpool bernasib baik berjaya menang ke atas Huddersfield yang dikendalikan rakan senegaranya dari Jerman, Wagner. – AFP