The Reds perlu suntikan semangat Klopp

LIVERPOOL, 13 APRIL – Dalam misi mencipta satu lagi kebangkitan hebat di Liga Juara-Juara, Liverpool tidak boleh hanya bergantung kepada kehadiran sokongan para peminat mereka yang cukup terkenal di Anfield, apabila Liverpool bertemu menentang Real Madrid Khamis ini selepas tewas 3-1 pada perlawanan pusingan pertama minggu lalu.

Jika juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mahu mara ke separuh akhir buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun, mereka memerlukan magis daripada pengurusnya, Jurgen Klopp untuk merancang taktikal dan strategi terbaik untuk menyingkirkan pasukan gergasi bola sepak Sepanyol itu.

Klopp menjadi sanjungan di Merseyside selepas membawa Liverpool menjulang trofi Piala Eropah keenam dan gelaran EPL pertama dalam tempoh 30 tahun.

Tetapi pengurus dari Jerman itu gagal mengelak kemerosotan prestasi Reds musim ini.

Dengan berbaki tujuh perlawanan sahaja lagi di EPL, adalah mustahil untuk Liverpool mengekalkan gelaran selepas ketinggalan 22 mata di belakang City dan menduduki tangga kelima.

Reaksi pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dan Trent Alexander-Arnold ketika perlawanan EPL antara Liverpool dan Aston Villa di Stadium Anfield pada 10 April lalu. – AP

Harapan untuk terus mara di kempen Liga Juara-Juara turut sukar selepas Real mengecewakan Reds dalam tempoh 45 minit pertama di Madrid minggu lalu.

Defisit Liverpool tidak seteruk ketika perlawanan kunjungan Barcelona dua tahun lalu dalam aksi separuh akhir yang kemudiannya menjadi malam gemilang di Anfield selepas mereka berjaya bangkit dengan kemenangan 4-0.

Tetapi Klopp memberi amaran mereka berdepan tugas lebih sukar di stadium kosong akibat peraturan ketat koronavirus.

“Jika anda mahukan memori penuh emosi, anda perlu lihat aksi menentang Barcelona dan 80 peratus perlawanan itu adalah atmofera dalam stadium dan ya, kami akan melakukannya tanpa suasana itu,” kata Klopp.

Liverpool mengakui menderita sepanjang musim ini beraksi tanpa penyokong.

Sebelum bulan Januari, mereka tidak pernah tewas dalam 68 perlawanan di laman sendiri di EPL, buat pertama kalinya Liverpool kemudian tewas enam perlawanan berturut-turut di Anfield.

Selain beraksi tanpa penyokong, krisis kecederaan turut menjadi penyumbang utama nasib malang Liverpool musim ini. Virgil van Dijk, Jordan Henderson, Joe Gomez dan Joel Matip sekali lagi tidak beraksi manakala musim pertama Thiago Alcantara dan Diogo Jota turut terjejas selepas berehat panjang akibat masalah sama. – AFP