The Reds rosakkan pesta kepulangan Gerrard

LIVERPOOL, 12 DIS – Kepulangan Steven Gerrard ke Anfield berakhir dengan kekecewaan selepas jaringan Mohamed Salah melalui sepakan penalti memberikan kemenangan buat Liverpool 1-0 ke atas Aston Villa di Liga Perdana Inggeris, semalam.

Gerrard, kapten Liverpool paling lama dan kini menguruskan Villa, kembali ke kelab kesayangan buat kali pertama sejak meninggalkannya pada 2015 dan diberikan penghormatan apabila dia memasuki padang sebelum perlawanan. Namun dia pulang tanpa membawa sebarang mata.

Aksi penjaga gol Villa, Emiliano Martinez membuatkan pemain Liverpool kecewa namun peluang hadir pada minit ke-67 ketika Tyrone Mings menjatuhkan Salah, lantas penyerang Mesir itu berjaya menyempurnakan sepakan penalti ke-15 berturut-turut.

Kemenangan tersebut menjadikan Liverpool hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu, Manchester City dan satu mata di hadapan Chelsea dalam perlumbaan tiga penjuru merebut kejuaraan.

Gerrard yang mencatatkan permulaan baik selaku pengurus di Liga Perdana Inggeris dengan mencatat tiga kemenangan daripada empat perlawanan dan kekalahan tipis kepada Manchester City sebelum berkunjung ke Anfield. Namun dia menerapkan corak permainan lebih bertahan menentang bekas kelabnya itu.

Liverpool mengasak Martinez untuk melakukan beberapa aksi menyelamat pada separuh masa pertama dan tandukan Virgil van Dijk berjaya dikeluarkan oleh penjaga gawang pada minit awal separuh masa kedua. Namun tekanan oleh Liverpool akhirnya membuahkan hasil apabila Salah berjaya melepaskan kawalan pertahanan Villa dan dijatuhkan oleh Mings.

Salah tenang menyempurnakan sepakan penalti menewaskan penjaga gol pada sebelah kiri gawang, menjadikannya pemain kedua dalam sejarah Liga Perdana Inggeris selepas Jamie Vardy untuk menjaringkan gol atau assist dalam 14 perlawanan berturut-turut.

Villa kemudian membuat rayuan penalti pada minit akhir apabila penjaga gol Liverpool, Alisson mengeluarkan bola selepas berebut dengan Joel Matip dan menjatuhkan Danny Ings, namun pengadil mengarahkan perlawanan diteruskan.- AP

Reaksi Steven Gerrard mengarahkan anak buahnya semasa pertemuan menentang Liverpool di Anfield. Liverpool berjaya menewaskan Aston Villa melalui jaringan Mohamed Salah.- AP