The Reds tetap pamer aksi cemerlang

LONDON, 23 NOV – Liverpool mengetepikan faktor krisis kecederaan untuk menyamakan mata dengan Tottenham di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila berjaya mencatat kemenangan 3-0 ke atas Leicester semalam.

Juara EPL musim lalu itu yang beraksi tanpa Virgil van Dijk, Joe Gomez, Trent Alexander-Arnold, Jordan Henderson, Thiago Alcantara, Xherdan Shaqiri dan Alex Oxlade-Chamberlain yang kesemuanya mengalami kecederaan serta penjaring terbanyak The Reds, Mohamed Salah tidak dapat diturunkan kerana positif COVID-19.

Namun skuad kendalian Jurgen Klopp tetap mempamerkan persembahan terbaik mengatasi Leicester yang memulakan hujung minggu lalu di puncak liga.

The Foxes tidak dapat memanfaatkan krisis yang dihadapi Liverpool apabila jaringan sendiri Jonny Evans berpunca daripada sepakan sudut James Milner memberikan gol pembukaan buat Liverpool.

Diogo Jota kemudian menjadi pemain pertama Liverpool yang menjaringkan gol dalam empat penampilan pertama di gelanggang sendiri dalam saingan liga selepas menanduk masuk hantaran daripada Andy Robertson di separuh masa pertama.

Aksi pemain tengah Liverpool, Roberto Firmino semasa perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris antara Liverpool dan Leicester City di Stadium Anfield semalam. – AP

Hanya beberapa aksi yang diselamatkan dengan ketangkasan penjaga gol, Kasper Schmeichel dan percubaan yang tersasar menghalang Liverpool daripada mengulangi kemenangan dengan jaringan 4-0 ke atas Leicester ketika kedua-dua pasukan bertemu pada Disember lalu.

Namun Robert Firmino kemudian melengkapkan kemenangan bergaya Reds juga menerusi tandukan menerusi sepakan sudut Milner enam minit sebelum tamat permainan.

“Aksi dalam perlawanan seperti ini, saya tidak mengambil mudah mengenainya. Pemain pula begitu bersemangat.” kata Klopp.

Liverpool kini mencatat rekod baharu kelab itu selepas tidak pernah tewas dalam 64 perlawanan liga di Anfield.

Kekalahan Leicester bermakna Arsenal hanya lima mata dari empat teratas EPL. – AFP