PELAKON dikenali dengan jolokan The Rock kini menanti masa untuk menyarungkan cincin perkahwinan ke jari manis teman wanitanya, penyanyi juga komposer jelita, Lauren Hashian.
The Rock atau Dwayne Johnson mendedahkan perkara itu ketika sesi temu ramah berkaitan filem terbaharunya, Rampage.
“Saya tidak mahu tergesa-gesa berkahwin dengan dia kerana mahu selesaikan segala urusan kerjaya terlebih dahulu.
“Atau pun, mungkin sehingga saya dapat bernafas seketika agar dapat mengurus perkahwinan kami,” katanya.
Sambungnya, selain sibuk dengan rangka promosi filem Rampage, dia juga terikat dengan beberapa projek baru.

“Ikutkan kami mahu berkahwin pada musim bunga lalu, tetapi dia pula disahkan mengandung. Lauren berasakan tidak mahu bergambar memakai pakaian pengantin ketika mengandung.
“Jadi, kami ambil keputusan untuk tunggu dan tidak pasti lagi bila, cuma ia (perkahwinan) pasti akan berlaku,” katanya.
Johnson dan Lauren sudah pun memiliki anak bersama bernama Jasmine yang kini berusia dua tahun.
Sebelum ini, Johnson berkahwin dengan Dany Garcia yang juga pengurusnya. Pasangan itu dikurniakan anak bernama Simone Alexandra Johnson yang kini berusia 16 tahun.
Berkongsi cerita mengenai projek terbaharu, Johnson berkata, dia akan menjalani penggambaran filem terbitan Disney berjudul The Jungle Cruise bersama aktres jelita, Emily Blunt beberapa bulan akan datang.
Dia juga akan kembali ke set penggambaran filem ‘spin-off’ Fast & Furious selain beberapa projek lain.
Kelibatnya di televisyen juga tidak kurang hebat apabila akan kembali dengan musim baru Ballers yang ditayangkan di saluran HBO.
“Saya berterima kasih kerana Lauren sanggup ‘bekerja’ seiring dengan jadual sibuk saya dan dia sentiasa menjadi juara di hati saya.
“Dia wanita yang hebat dan sentiasa optimis dengan kesibukan kerja kami. Dia selalu berkata, tak mengapa, semuanya akan berlaku dengan baik,” kata Johnson. – Agensi