The Rossoneri mulakan kempen langkah kanan

MILAN, 24 OGOS – AC Milan memulakan kempen Serie A kelmarin dengan mencatat kemenangan 1-0 ke atas lawan, Sampdoria, dengan pengurus pasukan Stefano Pioli menurunkan pemain pembelian baharu mereka termasuk Olivier Giroud.

Giroud, yang akan menyambut ulang tahun ke-35 bulan depan, dijangka akan membuat impak untuk pasukan The Rossoneri bersama-sama gandingan pemain bintang, Zlatan Ibrahimovic.

Ketika pemain Sweden tersebut sedang menjalani pemulihan dari pembedahan lutut, Pioli akan menagih persembahan penjaring terbanyak pasukan kebangsaan Perancis itu untuk membuat impak besar sama seperti yang dilakukannya di Chelsea, membantu

The Blues memenangi Liga Juara-Juara musim lalu. Dengan Milan kini kembali beraksi di Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2013/2014, sentuhan berbisa di hadapan pintu gol adalah yang diharapkan oleh Pioli daripada pasukannya.

Penjaga gol baharu pasukan, Maignan membuat hantaran jauh kepada Davide Calabria yang kemudian melakukan assist dengan penjaga gawang Sampdoria, Emil Audero gagal menyambut percubaan rendah daripada Brahim Diaz.

Pemain kebangsaan Sepanyol itu menyertai kelab secara pinjaman dari Real Madrid musim lalu dan kini perjanjian tersebut dilanjutkan selama dua tahun.

Pemain pertahanan Sampdoria mengawal ketat Giroud sepanjang perlawanan, di mana penyerang Perancis itu diberi sedikit peluang untuk meledak gol sulung bersama Milan.

Menuju akhir perlawanan, Pioli memasukan seorang lagi pemain baharu, Alessandro Florenzi, yang melengkapkan perpindahan secara pinjaman selama semusim dari Roma pada hujung minggu lalu. Terdahulu, bekas pemain tengah Paris Saint-Germain, Thiago Motta berharap untuk memulakan perlawanan keduanya di Serie A sebagai pengurus mencatat kemenangan, apabila Spezia mendahului Cagliari 2-0 selepas satu jam perlawanan berlangsung. – AFP

Reaksi Brahim Diaz meraikan gol bersama rakan sepasukan ketika Milan menewaskan Sampdoria 1-0, kelmarin. – AP