The Royal Bees kurang menyengat

Oleh Fadhil Yunus

MANILA, 26 NOV – Pasukan Bola Jaring kebangsaan Brunei Darussalam yang menyasarkan untuk memenangi pingat gangsa ketiga berturut-turut di Sukan Asia Tenggara (SEA) di Manila, Filipina sedikit goyah selepas mengalami kekalahan 63-28 kepada Thailand di Kompleks Sukan Sta Rosa di Laguna, Filipina, semalam.

Berkenan berangkat menyaksikan perlawanan tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah.

Pasukan kebangsaan berkenan diketuai oleh Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah.

Singapura dan Malaysia merupakan gergasi bola jaring di rantau ini dan merupakan pilihan utama untuk perlawanan final bola jaring pada 2 Disember.

Thailand muncul menjadi pilihan untuk menempatkan diri dalam empat pasukan teratas dengan kemenangan menentang Filipina hari ini, cukup untuk menjamin tempat mereka di peringkat kalah mati dan menjanjikan pingat gangsa.

DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah ketika berkenan bergambar ramai bersama Pasukan The Royal Bee. – Gambar oleh Infofoto
Aksi YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah semasa perlawanan tersebut. – Gambar oleh Infofoto

Kemenangan Thailand akan meninggalkan Brunei dan Filipina untuk memperjuangkan pingat gangsa yang lain.

Thailand memulakan suku pertama dengan mendahului 15-5 sebelum menjauhkan jarak 31-14 pada suku kedua.

Pada suku ketiga, Thailand meneruskan momentum mereka dengan mendahului 45-22 dan hanya memberi peluang kepada Brunei memperoleh enam mata pada suku keempat untuk mendapatkan kemenangan yang selesa.

The Royal Bees akan menentang Singapura, yang bertanding di Piala Dunia di Liverpool awal tahun ini, dan bertemu juara bertahan Malaysia sebelum menamatkan pusingan awal menentang tuan rumah Filipina.

Empat pasukan teratas akan bermain di peringkat kalah mati pada 1 Disember untuk memburu tempat di final.

Sementara itu, Malaysia mencatatkan kemenangan berturut-turut kedua mereka dalam pusingan awal selepas kemenangan ketara 88-25 ke atas Filipina.