‘The special one’ bosan cuti

MADRID, 13 SEPT – Jurulatih yang menganggur Jose Mourinho sudah bosan bercuti dan dia memberitahu televisyen Sepanyol semalam bahawa dia menolak kemungkinan menyertai pasukan kebangsaan atau menyertai kelab pada pertengahan musim.

Mourinho dipecat Manchester United pada Disember 2018 selepas dua tahun kejayaannya dibayangi keputusan baik pencabarnya, Manchester City.

Pengendali dari Portugal itu yang terkenal kerana kejayaan memenangi Liga Juara-Juara 2004 bersama Porto, menjadi bintang dengan kejayaan dan personalitinya di Chelsea, Real Madrid, Inter Milan dan akhirnya United.

Dia mendapat panggilan ‘Special One’ apabila menyertai Chelsea, selepas berkata mereka mencari pengurus yang hebat dan dia adalah seorang yang istimewa.

“Saya sudah cukup, akhirnya saya sudah cukup,” kata Mourinho semalam selepas ditanya jika dia gembira melalui tempoh rehat selepas setahun meninggalkan kerusi panas itu.

Mourinho ketika menghadiri sidang mengenai perkembangan dan inovasi dalam bola sepak di Madrid, kelmarin. – AFP

“Saya menghabiskan musim panas sama seperti peminat bola sepak yang lain buat pertama kali, sekarang saya faham apa rasanya,” katanya.

Ketika Kejohanan Eropah akan berlangsung pada 2020, jurulatih bermulut lantang itu ditanya sama ada dia akan menrima pelawaan pasukan kebangsaan.

“Mungkin dalam tempoh 10 tahun,” kata jurulatih berusia 56 tahun itu.

“Ia sesuatu yang saya suka lakukan, mengambil pasukan untuk Kejohanan Eropah atau Piala Dunia, saya akan melaluinya,” katanya.

“Tapi dua tahun dengan hanya sedikit perlawanan (kelayakan) tidak sesuai dengan saya… saya suka melihat latihan setiap hari dan bermain dua atau tiga perlawanan seminggu,” katanya. – AFP