Theo Walcott buka jaringan musim 2017

LONDON, 21 Sept – Penyerang England Theo Walcott menjaringkan gol pertamanya musim ini ketika membantu Arsenal menang 1-0 ke atas Doncaster Rovers untuk mara ke pusingan empat Piala Liga Inggeris, awal pagi tadi.

Walcott yang gagal menjaringkan gol dalam aksi kompetitif untuk Gunners sejak April, meledak gol pada minit ke-25 ketika tuan rumah tampak bergelut untuk mengatasi lawan dari Liga Satu itu.

Di sebalik deretan peluang pada babak pertama di Emirates, Arsenal gagal untuk menggandakan jaringan dengan Doncaster beberapa kali meletakkan tuan rumah dalam keadaan bahaya.

Begitupun, ketumpulan jentera serangan skuad bimbingan Darren Ferguson itu di bahagian serangan menyelamatkan tuan rumah sekali gus menyaksikan jurulatih, Arsene Wenger pulang dengan keputusan positif ditambah prestasi baik daripada Jack Wilshere.

Pemain tengah itu yang menghabiskan musim lalu sebagai pemain pinjaman di Bournemouth kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama buat pertama kali sejak Mei 2016 terbabit dalam beberapa gerakan Gunners.

Pemain Arsenal, Theo Walcott (dua kanan) meraikan jaringan semasa menentang Doncaster Rover pada pusingan ketiga Piala Liga di Stadium Emirates, kelmarin. – AP

Pada awal permainan, pemain sayap Doncaster, Rodney Kongolo berpeluang untuk menjaringkan gol, namun David Ospina lebih pantas untuk melakukan aksi penyelamat baik.

Penyerang Arsenal, Olivier Giroud kemudian meminta untuk diberikan penalti selepas mendakwa dia dijatuhkan di dalam kawasan penalti namun rayuannyatidak diendahkan pengadil.

Pemain kelahiran Perancis itu sekali lagi mencemaskan pelawat apabila menerima hantaran Wilshere, namun tendangan akrobatiknya yang berjaya menewaskan Ian Lawlor sekadar menggegar palang.

Giroud tambah berang apabila tandukannya sedikit melepasi palang pada minit ke-20 sebelum gawang Doncaster bocor lima minit kemudian.

“Ia adalah kerja keras, tahniah kepada Doncaster. Saya sememangnya bimbang kerana mereka tampak berbahaya,” kata Wenger. – AFP