Thermal gun selamat digunakan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Penyebaran maklumat mengenai kekhuatiran penggunaan alat pemeriksa suhu atau thermal gun di kepala yang tular di media sosial adalah tidak tepat.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini kelmarin menekankan bahawa thermal gun atau dikenali juga sebagai non contactable infrared thermometer atau temperature gun adalah selamat digunakan dan tidak ada bukti saintifik yang menunjukkan bahawa ia boleh membahayakan kepada badan seperti mata atau otak.

Ia hanya menggunakan inframerah yang mempunyai sifat dan kesan yang berbeza di mana lampu inframerah yang terdapat pada thermal gun, berfungsi hanyalah untuk memfokuskan thermal gun berkenaan dengan tepat ke arah bahagian badan yang akan diperiksa.

Ia tidak menghasilkan radiasi sepertimana dalam peralatan mesin X-ray dan oleh yang demikian, orang ramai adalah dinasihatkan untuk tidak berasa cemas dengan mesej tular berkenaan.

Kementerian Kesihatan juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan percaya akan maklumat-maklumat dan berita yang disebarkan melalui Internet atau melalui media-media sosial tanpa memastikan kesahihannya.

Orang ramai juga diingatkan untuk lebih bertanggungjawab dan tidak turut menyebarluaskan sebarang perkara yang tidak disahkan oleh Kementerian Kesihatan.

Perbuatan menyebarkan maklumat tidak sahih, apatah lagi yang palsu dan direka semata-mata berniat untuk mengelirukan menjadi satu kesalahan dan boleh dilaporkan di bawah perundangan Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148 Seksyen 34, iaitu sesiapa yang sama ada menggunakan lisan atau tulisan atau menggunakan sebarang cara, menyebarkan laporan yang salah atau membuat kenyataan yang salah, yang menyebabkan ketenteraman awam terganggu boleh dipenjarakan tiga tahun dan denda sebanyak $3,000.

Orang ramai yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut, mereka boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan di talian 148 atau menghubungi Talian Darussalam 123.

Thermal gun adalah selamat digunakan dan tidak ada bukti saintifik yang menunjukkan bahawa ia boleh membahayakan kepada badan seperti mata atau otak. – Gambar fail