Thiago akhirnya sarung jersi The Reds?

BERLIN, 17 SEPT – Pengerusi pasukan Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge mengesahkan hari ini bahawa kelab bersetuju dengan Liverpool mengenai perpindahan pemain tengah Sepanyol, Thiago Alcantara.

“Saya boleh mengesahkan bahawa FC Bayern akhirnya telah mencapai persetujuan dengan Liverpool FC,” Rimmenigge memberitahu akbar Jerman, Bild.

“Ia adalah impian besar Thiago untuk sekali lagi melakukan sesuatu yang baharu sebelum penghujung kariernya.”

Difahami Liverpool akan membayar yuran pendahuluan sebanyak 20 juta pound untuk pemain tersebut, yang kontraknya berbaki setahun bersama pasukan juara Eropah Bayern, termasuk bayaran tambahan.

Jurulatih Bayern, Hansi Flick mengucapkan tahniah kepada pengurus Liverpool, Jurgen Klopp kerana menandatangani Alcantara, yang disifatkannya sebagai ‘pemain luar biasa’.

Pemain kebangsaan Sepanyol, Thiago Alcantara akan melengkapkan perpindahan ke Liverpool, menurut pengerusi pasukan Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge.- AFP

“Klopp mendapatkan seorang pemain yang terbaik dan seorang insan yang hebat,” kata Flick hari ini.

“Ia adalah hari yang sangat emosi hari ini apabila dia (Alcantara) mengucapkan selamat tinggal”.

Thiago 29, mempunyai baki kontrak selama setahun bersama Bayern telah melengahkan masa untuk menandatangani perjanjian lanjutan.

Pemain antarabangsa Sepanyol menyertai Bayern dari Barcelona pada 2013 dan menjadi pemain utama dalam kejayaan Liga Juara-Juara bulan lalu menewaskan Paris Saint-Germain.

Dilaporkan potensi perpindahan untuk Thiago telah ditangguhkan disebebkan oleh ketidakpastian masa depan pemain tengah Liverpool, Georginio Wijnaldum.

Pemain Belanda itu, yang memasuki tahun terakhir dalam kontraknya di Anfield, telah dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona.

Liverpool, walau bagaimanapun, memutuskan untuk menandatangani Thiago selepas Manchester United dilaporkan turut mengejar khidmat pemain perancang Sepanyol tersebut.

Dia akan menjadi pemain pembelian kedua Liverpool pada jendela perpindahan musim panas selepas membeli pemain bek kiri Greece, Kostas Tsimikas, yang akan menjadi pelapis kepada Andy Robertson. – AFP