Thiago Alcantara sertai The Reds?

BERLIN, 17 JULAI – Pemain tengah Sepanyol, Thiago Alcantara mungkin akan menyertai juara Liga Perdana Inggeris (EPL) Liverpool setelah beliau tidak menandatangani pelanjutan kontrak baharunya di Bayern Munich, menurut laporan di Bild semalam.

Bild mendakwa pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mahu menandatangani pemain perancang itu yang membantu Munich memenangi gelaran Bundesliga dan Piala Jerman musim lalu, tetapi kelab masih belum menyetujui sebarang bayaran perpindahan.

Menurut Bild, Liverpool tidak bersedia membayar lebih dari 25 juta euro (AS$28.5 juta), sementara Bayern mahu bayaran perpindahannya sekitar 40 juta euro untuk pemain berusia 29 tahun itu. Awal minggu ini, terdapat banyak laporan bahawa rumah Alcantara di Munich sudah siap dijual.

Dengan baki satu tahun lagi kontraknya, Alcantara tidak lagi menandatangani kontrak baharu, tetapi Bayern jelas ingin dia terus kekal.

“Kami berbincang dengannya dan mengikut permintaannya, tetapi sepertinya dia ingin melakukan sesuatu yang baharu pada akhir kariernya,” kata ketua Bayern, Karl-Heinz Rummenigge.

Alcantara menyertai Bayern pada tahun 2013, ketika pengurus baharu, Pep Guardiola mengambil alih selama tiga tahun. Dia telah memenangi Liga Juara-Juara bersama Guardiola pada 2010/11 di Barcelona dan sejak beliau menyertai Bayern, Alcantara telah memenangi gelaran Bundesliga dalam tujuh musimnya dan menjulang Piala Jerman empat kali.

Dia telah membuat 231 penampilan untuk Bayern, menjaringkan 31 gol dan 37 assist. – AFP