Thiago: selamat tinggal Bayern Munich

LONDON, 18 SEPT – Thiago Alcantara berkata dia bersetuju untuk meninggalkan pasukan pemenang Liga Juara-Juara, Bayern Munich untuk berpindah bersama juara Liga Perdana Inggeris, Liverpool, adalah keputusan paling sukar dalam kariernya.

Thiago yang akan menjalani ujian perubatan lewat hari ini sebelum melengkapkan perjanjian yang dilaporkan bernilai sekitar 20 juta pound berserta bayaran tambahan bernilai lima juta pound.

Pemain kebangsaan Sepanyol berusia 29 tahun itu dipercayai telah menyetujui perjanjian selama empat tahun bersama Liverpool.

Dia yang bermain mewakili Bayern sejak tahun 2013 dan mempunyai baki kontrak selama setahun cuba melengahkan untuk menandatangani kontrak lanjutan.

Thiago berjaya meraih beberapa trofi sepanjang bersama Bayern dan dia merupakan pemain yang paling berpengaruh di kelab tersebut dalam kemenangan final Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain bulan lalu.

Gambar fail reaksi Thiago selepas menjaringkan gol untuk Bayern. Pemain Sepanyol tersebut akan menjalani ujian perubatan sebelum melengkapkan perjanjian bersama Liverpool.- AP

Dalam mesej yang dimuat naik menerusi Twitter, dia berkata meninggalkan Bayern adalah keputusan yang paling sukar.

“Saya telah membuat keputusan yang paling sukar dalam karier saya,” tulis Thiago.

“Saya akan mengakhiri perjalanan saya bersama kelab yang hebat ini di masa saya telah berkembang sebagai seorang pemain selama tujuh tahun. Kemenangan, kegembiraan dan masa susah.

“Tetapi apa yang paling membanggakan saya ialah saya tiba di Munich sebagai seorang pemuda yang dipenuhi oleh impian dan kini saya meninggalkan kelab dengan mencapai semua impian tersebut bersama kelab, sejarahnya dan budayanya.”

Selain menjuarai trofi Liga Juara-Juara, Thiago juga turut meraih tujuh kejuaraan Bundesliga, empat Piala Jerman dan Piala Kelab Dunia semasa mewakili Bayern.

Thiago berkata dia mengambil keputusan untuk meninggalkan Bayern demi mencari cabaran baharu sebelum kariernya berakhir.

“Di sini saya belajar mengenai mencintai tradisi dan kini saya akan mengucapkan selamat tinggal, tetapi semua ini saya tidak akan lupakan,” kata Thiago.- AFP