Thiago Silva tinggalkan PSG

PARIS, 9 JUN – Kapten Paris Saint-Germain (PSG), Thiago Silva akan meninggalkan juara Perancis itu pada musim panas ini setelah lapan musim bersama kelab, menurut laporan media tempatan.

Pemain antarabangsa Brazil berusia 35 tahun itu tidak akan ditawarkan kontrak baharu menjelang akhir kempen Liga Juara-Juara PSG dan dikatakan telah diberitahu mengenai keputusan itu oleh pengarah sukan Leonardo.

PSG ingin mengurangkan gaji mereka yang besar dengan kelab yang dianggarkan mengalami kerugian lebih dari 200 juta euro (AS$226 juta) setelah musim Ligue 1 diumumkan berakhir pada bulan April lalu kerana wabak COVID-19.

Silva, yang menyertai PSG dari AC Milan pada tahun 2012, dapat kembali ke bekas kelabnya Fluminense di Brazil.

Baru-baru ini terdapat gambar beliau memegang kad kelab Fluminense dan baju pasukan itu dengan namanya dicetak di bahagian belakang.

Silva memenangi gelaran Ligue 1 tujuh kali bersama PSG, empat trofi Piala Perancis dan lima trofi Piala Liga Perancis.

PSG mara ke suku akhir Liga Juara-Juara musim ini sebelum pertandingan ditangguhkan pada bulan Mac.

FIFA mengesyorkan kontrak yang tamat tempoh dilanjutkan sehingga akhir kempen semasa. – AFP

Reaksi Silva semasa perlawanan pusingan kedua kelompok 16 akhir Liga Juara-Juara UEFA antara Paris Saint-Germain (PSG) dan Real Madrid yang lalu, di Stadium Parc des Princes di Paris. Thiago Silva akan meninggalkan kelab Paris itu musim panas ini. – AFP