Thiem tarik diri dari Terbuka Australia

VIENNA, 28 DIS – Dominic Thiem (gambar) berkata hari ini dia tidak akan beraksi dalam kejohanan Terbuka Australia pada bulan depan, sekali gus menangguh lanjut rancangannya untuk menyertai semula pertandingan selepas kecederaan yang dialami.

Juara Terbuka AS 2020 berusia 28 tahun itu, yang tidak beraksi selama enam bulan kerana kecederaan pergelangan tangan, berkata dia kini merancang untuk mengambil
bahagian dalam kejohanan Terbuka Cordoba di Argentina, yang akan bermula pada 31 Januari.

“Pasukan dan saya telah menilai semua perkara dan kami memutuskan untuk membuat beberapa perubahan kepada jadual kejohanan awal saya…Kami percaya ia adalah keputusan yang betul demi mencatat kepulangan yang baik dalam pertandingan,” kata pemain itu dalam satu kenyataan.

Pemain Austria itu, menduduki ranking ke-15 di dunia, telah pun menarik diri dari Piala ATP, yang bermula pada minggu depan, dan satu acara permulaan di Abu Dhabi pada awal bulan ini.

Meskipun menunda kepulangannya, Thiem, yang memasuki pusingan final Terbuka Australia 2020, berkata pergelangan tangannya kini ‘berada dalam keadaan optimum’, membenarkannya berlatih ‘seperti biasa dengan intensiti yang baik.’

Kejohanan Terbuka Australia bermula di Melbourne pada 17 Januari. – AFP