LYON, 21 MEI – Pemain nombor empat dunia, Dominic Thiem (gambar) tersungkur di ATP Lyon dalam pertandingan pembukaannya semalam.
Pemain pilihan utama, Thiem, 27, tewas kepada pemain ranking ke-49 dari Britain, Cameron Norrie 6-3, 6-2 hanya dalam masa satu jam. Thiem, naib juara dua kali di Roland Garros, hanya memenangi satu perlawanan di Terbuka Itali minggu lalu.
“Itu adalah kemenangan yang tidak dijangka,” kata Norrie. “Saya bermain dengan baik dan saya rasa sangat gembira.”
Norrie seterusnya akan menghadapi Arthur Rinderknech selepas pemain Perancis yang berada di kedudukan 125 dunia mengejutkan pemain pilihan keenam Itali, Jannik Sinner 6-7 (7/9), 6-2, 7-5 kelmarin. Pemain pilihan kedua dari Greece, Stefanos Tsitsipas, juara di Masters Monte Carlo, mara ke suku akhir menentang Tommy Paul dari Amerika Syarikat 6-1, 6-4.
Tsitsipas kini mara ke suku akhir yang kesembilan daripada 10 acara pada 2021. Pemain nombor satu Perancis, Gael Monfils, yang Selasa lalu memenangi pertandingan untuk pertama kalinya dalam 15 bulan, tersingkir oleh pemain nombor 60 dunia Jepun, Yoshihito Nishioka, 4-6, 6-3, 7-6 (7/2). Nishioka juga pernah mengalahkan Monfils di final Piala Davis 2019 dan pertembungan seterusnya ialah berdepan Tsitsipas Jumaat ini. – AFP




































