Thinking of You penghormatan kepada wira-wira negara

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani dan serahan Rainforest Gallery

Keinginan untuk memberikan penghormatan kepada petugas-petugas barisan hadapan yang melaksanakan tugas mereka menangani penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam menjadi inspirasi untuk menghasilkan karya seni, bertajuk, Thinking of You oleh Pengasas Rainforest Gallery, Dato Haji Shofry bin Haji Abdul Ghafor.

Di samping itu, Dato Haji Shofry turut menyampaikan sumbangan derma berjumlah $10,180 kepada COVID-19 Relief Fund yang diterima oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar di Kementerian Kesihatan, baru-baru ini.

Sumbangan itu merupakan hasil kutipan menerusi projek oleh Rainforest Gallery yang dikenali sebagai Mask Art Project di mana ia lahir daripada pameran kesenian antarabangsa yang dianjurkan oleh UNESCO Beirut dan MEADOWS Office.

Dato Haji Shofry menerangkan bahawa menerusi projek berkenaan artis-artis dari seluruh dunia mempamerkan karya seni mereka pada penutup hidung dan mulut sebagai penghormatan kepada petugas-petugas barisan hadapan.

Pihak UNESCO Beirut telah menjemput Dato Haji Shofry dan Adi Zain dari Negara Brunei Darussalam untuk menyertai pameran itu.

Dato Haji Shofry menyerahkan sumbangan hasil lukisan yang terjual di platform media sosial kepada Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Thinking of You terhasil daripada keinginan Dato Haji Shofry untuk memberi penghormatan kepada petugas barisan hadapan yang menangani COVID-19.

Karya seni yang dihantar untuk pameran itu oleh Dato Haji Shofry merupakan lukisan yang bertajuk, Thinking of You, menggambarkan seorang petugas perubatan barisan hadapan yang memakai pakaian pelindungan diri.

Dato Haji Shofry mengongsi bahawa apabila COVID-19 melanda Negara Brunei Darussalam, sebilangan besar petugas perubatan barisan hadapan negara harus bertugas dengan keras berjam-jam, jauh daripada keluarga serta mereka yang tercinta.

“Kita tidak tahu bagaimana Brunei akan menghadapinya. Kita terus berdoa, tetapi kita tidak pasti. Adalah amat menyayat hati saya untuk memikirkan berada di tempat para petugas barisan hadapan itu,” jelasnya.

Dengan perasaan kurang pasti itu, Dato Haji Shofry menggunakan kemahiran melukisnya untuk menghasilkan karya bagi menghormati pengorbanan mereka.

“Sebagai seorang artis, saya menggunakan kanvas untuk melukis apa yang saya rasakan. Lukisan itu menggambarkan perasaan kesunyian – seorang petugas barisan hadapan memakai PPE melihat keluar melalui jendela di sebuah wad hospital, fikirannya dipenuhi dengan ketidakpastian, hatinya dipenuhi keinginan untuk situasi yang lebih baik,” tambahnya.

Dato Haji Shofry berkata beliau inginkan untuk bergerak jauh daripada hanya menghasilkan karya seninya. Beliau ingin karyanya memberikan impak yang lebih bermakna dengan mengumpulkan derma untuk tabung COVID-19. Dato Haji Shofry dan beberapa orang ahli keluarganya pada 16 Jun lalu, telah meletakkan seni penutup mulut dan hidung itu dalam platform media sosial mereka di mana dalam tempoh tiga hari, kesemua 100 seni penutup hidung dan mulut, habis dijual.

Setiap seni penutup hidung dan mulut diberikan nombor dari 1 hingga 100 dan ditandatangani oleh Dato Haji Shofry yang menjadikan setiap satu bahan koleksi yang unik.

“Alhamdulillah, saya merasa amat bersyukur dan gembira bahawa rakan-rakan, keluarga dan juga mereka yang tidak dikenali telah bersama-sama memberikan sokongan padu terhadap usaha ini.

“Sasaran dari awal sudah jelas iaitu untuk mengutip $10,000 bagi Tabung COVID-19. Kami telah mencapai sasaran itu dan terdapat juga yang menderma lebih daripada itu,” jelasnya lagi.

Karya seni asal yang dihasilkan oleh Dato Haji Shofry merupakan cara baginya untuk menghormati para petugas barisan hadapan manakala projek Mask Art itu pula, merupakan penghormatan secara kolektif kepada petugas-petugas barisan hadapan oleh semua yang menyokong projek berkenaan.

“The Mask Art merupakan satu cebisan memori dan pada tahun-tahun akan datang, kita boleh melihat kembali satu ketika di mana seluruh dunia terhenti,” ujarnya.

“Oleh itu, penutup hidung dan mulut itu, dalam pelbagai cara menjadi simbol bagi satu ketika dalam masa untuk kita,” jelasnya lagi.