Thomas Mueller tetap beri tumpuan kepada Bayern

BERLIN, 24 NOV – Thomas Mueller (gambar bawah) mengakui dia menyaksikan kekalahan memalukan buat Jerman ke atas Sepanyol, tetapi menegaskan fokusnya tetap pada juara Eropah, Bayern Munich walaupun digesa dipanggil kembali bersama pasukan kebangsaan.

Pada usia 31 tahun, Mueller membuktikan dia berada di posisi teratas dengan mencatat 21 assist di Bundesliga musim lalu, gabungan hebat bersama penyerang Bayern, Robert Lewandowski.

Pasangan ini akan memburu lebih banyak gol apabila mengunjungi Red Bull Salzburg esok ketika Bayern mengejar kemenangan ke-15 berturut-turut di Eropah dan kemenangan keempat dari empat perlawanan di Kumpulan A.

Mueller mencipta dua gol dan Lewandowski menjaringkan dua gol dalam kemenangan 6-2 di Salzburg awal bulan ini.

Namun setelah kekalahan Jerman 6-0 oleh Sepanyol minggu lalu, para pakar dan bekas pemain menegaskan Mueller dapat memberikan dorongan kepada pasukan kebangsaan.

Dengan lima rakan sepasukan Bayern di pasukan Jerman diturunkan di Seville, Mueller mengakui kekalahan itu menyakitkan.

“Sudah tentu, anda kecewa bersama dengan rakan-rakan pemain di kelab dan bekas rakan pasukan kebangsaan,” katanya selepas seri 1-1 menentang Werder Bremen semalam.

“Peminat bola sepak Jerman menginginkan perkara berjalan lancar.

“Pada masa ini ada banyak negatif mengenai topik ini, itu menyakitkan, tetapi fokus utama saya adalah pada kelab.” – AFP