MIAMI, 5 Okt – Justin Thomas dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan Jelajah PGA 2017, hari ini, sekali gus melengkapkan musim hebatnya selepas merangkul lima gelaran juara termasuk satu gelaran utama.
Pemain berusia 24 tahun dari Louisville, Kentucky itu boleh dianggap sudah menutup tirai saingan tahun ini dengan cemerlang apabila dia menjuarai Piala FedEx, bulan lalu.
Pesuruhjaya Jelajah PGA, Jay Monahan, berkata anugerah itu diberikan kepada Thomas selepas aksi cemerlangnya sepanjang tahun ini.
“Bagi pihak Jelajah PGA, kami mengucapkan tahniah kepada Justin Thomas yang diundi untuk memenangi anugerah Pemain Terbaik Tahunan Jelajah PGA,” kata Monahan dalam satu kenyataan.
“Dengan lima kemenangan yang luar biasa dan aksi konsisten sepanjang musim ini sehingga meraih gelaran Piala FedEx, Justin adalah pemenang yang layak untuk Jelajah PGA tahun ini.
“Kami juga menghargai kecemerlangannya, kerana dia adalah salah seorang bintang muda yang menjadi duta besar untuk Jelajah PGA tahun ini.”
Thomas memenangi gelaran utama pertama dalam kerjayanya pada Ogos lalu di Kejuaraan PGA. Dia juga memenangi CIMC Classic, Kejohanan Juara-Juara Sentry, Terbuka Sony di Hawaii dan Kejuaraan Dell Technologies.
Kemenangan Thomas dalam saingan Terbuka Sony turut menyaksikan dia menjadi pemain paling muda dalam sejarah yang melakar catatan bawah 60 dengan mencatat 59 di pusingan pertama.
Hanya tiga pemain iaitu Jack Nicklaus, Tiger Woods dan Jordan Spieth sejak 1960 memenangi lima kejohanan termasuk kejohanan utama dalam satu musim sebelum memasuki usia 25 tahun
Pemain Terbaik Tahunan Jelajah PGA itu diundi oleh profesional Jelajah PGA, yang sekurang-kurangnya bermain 15 pertandingan tunai musim ini. Pengundian ditutup pada 2 Oktober. – AFP