ST. LOUIS, 7 Ogos – Justin Thomas selaku juara bertahan, bakal muncul dalam siri Kejuaraan PGA ke-100 setelah slotnya disenaraikan dalam pasukan Piala Ryder Amerika Syarikat (AS) dengan empat lagi ruang akan diisi minggu ini di Bellerive.
Thomas mengesahkan kedudukannya Ahad lalu setelah menjuarai Kejohanan Jemputan WGC Bridgestone, menyertai pemain nombor satu dunia, Dustin Johnson, juara Masters, Patrick Reed serta pemenang dua kali Terbuka AS, Brooks Koepka.
“Ia sentiasa menjadi penghormatan terbesar untuk mewakili negara anda,” kata Thomas.
Dia akan menggunakan segala pengetahuan yang ada ketika beraksi di Terbuka Perancis Jun lalu di Le Golf National, di mana Piala Ryder akan menyaksikan AS selaku juara bertahan, menang buat kali pertama di Eropah sejak 1993.
“Ia bukanlah perkara baharu yang saya pelajari. Ia bukan sesuatu yang mustahil atau rumit. Anda perlu terus ke depan kerana semuanya ada di hadapan,” kata Thomas.
Empat lagi tempat pemain AS akan diisi secara automatik dalam senarai pemain yang akan beraksi dalam pertembungan dua tahun sekali itu apabila turun berdepan Eropah bulan depan, berdasarkan jumlah mata selepas pusingan akhir kejohanan utama tamat hujung minggu ini.
Pemenang tiga kejohanan utama, Jordan Spieth yang melengkapkan kariernya selepas memenangi Grand Slam minggu ini dan Bubba Watson, juara Master dua kali, mungkin mempunyai mata yang mencukupi untuk bersama AS dari 28 hingga 30 September ini.
Bagaimanapun Rickie Fowler dan Webb Simpson berada dalam kedudukan yang lebih sukar bersama Bryson De Chambeau. – AFP