Thomas terpaksa ‘dicutikan’

WASHINGTON, 19 SEPT – Pemain Washington Wizards, Isaiah Thomas (gambar bawah), dua kali NBA All-Star, akan diketepikan selama enam hingga lapan minggu selepas menjalani pembedahan ke atas ibu jarinya sebelah kiri.

Pembedahan itu terpaksa dibuat selepas Thomas mengalami kecederaan semasa menjalani senaman rutin pra musim.

Jika tempoh pemulihan itu tepat, pemain Amerika berusia 30 tahun itu akan terlepas satu hingga tiga minggu kempen 2019-2020 serta keseluruhan pra musim, kehilangan tempoh genting bersama rakan sepasukan baharu selepas ditandatangani Wizards sebagai ejen bebas pada Julai.

“Ini adalah perkara malang buat Isaiah, tetapi dengan keazamannya dan penjagaan terbaik yang akan diterimanya daripada pasukan perubatan kami, kami menjangkakan dia pulih sepenuhnya,” kata pengurus besar Wizards, Tommy Sheppard dalam satu kenyataan.

“Buat sementara waktu, dia akan terus menjadi mentor kepada pemain-pemain muda dan memberikan impak yang positif kepada pasukan apabila kami memulakan kem latihan.”

Thomas sudah bermain untuk enam kelab dalam tempoh lapan musim, tampil dalam All-Star bersama Boston pada tahun 2016 dan 2017, dengan purata kerjaya 28.9 mata bagi kempen 2016-17.

Thomas hanya beraksi 12 perlawanan buat Denver musim lepas, terlepas 56 perlawanan musim disebabkan kecederaan paha, yang dialaminya semasa playoff 2017 bersama Boston. Dia menjalani pembedahan paha kanan pada tahun 2018. – AFP