Thomas Tuchel sambar Saul Niguez

LONDON, 1 SEPT – Chelsea berjaya menyambar pemain tengah Atletico Madrid, Saul Niguez dalam perjanjian pinjaman jangka panjang semalam sekali gus mengukuhkan lagi barisan skuad Thomas Tuchel.

Pemain antarabangsa Sepanyol itu menjadi pemain utama untuk skuad Diego Simeone di Atletico, namun prestasinya mula merosot ketika Los Rojiblancos memenangi La Liga.

“Kami sudah selesai menandatangani Saul Niguez dari Atletico Madrid untuk pinjaman sepanjang musim dengan pilihan untuk perpindahan tetap pada penghujung musim,” kata Chelsea dalam satu kenyataan.

Pemain berusia 26 tahun itu dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona ketika jendela perpindahan dibuka dalam usaha untuk membawa Antoine Griezmann ke Atletico. Namun Griezmann dilaporkan akan dipinjam ke Wanda Metropolitano dengan Saul dibenarkan meninggalkan kelab itu untuk berpindah ke London.

“Saya sangat teruja untuk memulakan cabaran baharu bersama Chelsea,” kata Saul.

“Saya peminat Blues. Saya adalah salah seorang daripada anda sekarang dan saya tidak sabar untuk menyarung jersi itu, memulakan latihan dan bersama anda semua.”

Saul menjaringkan 43 gol dalam 340 penampilan bersama Atletico termasuk menewaskan skuad Pep Guardiola ketika mengendalikan Bayern Munich pada pusingan pertama separuh akhir Liga Juara-Juara pada 2016 ketika anak buah Simeone mara ke final untuk kali keduanya dalam tempoh dua tahun.

“Kami mengalu-alukan Saul ke kelab dan percaya dia mampu melengkapkan skuad ketika kami sedang berusaha menghadapi lima pertandingan musim ini,” kata Pengarah Chelsea Marina Granovskaia.

“Dia pemain dengan pengalaman besar dan kami tahu dia amat sesuai dengan cabaran yang dihadapi kami di Chelsea.” – AFP

Reaksi Saul Niguez semasa meraikan jaringan golnya ketika beraksi bersama pasukan Sepanyol. Chelsea memeterai perjanjian pinjaman jangka panjang untuk Saul. – AP