Three lions terus mengganas

SOUTHAMPTON, 11 SEPT – Jadon Sancho menjaringkan gol antarabangsa pertamanya ketika barisan penyerang England terus mengganas dengan kemenangan 5-3 saingan kelayakan Euro 2020 ke atas Kosovo di Southampton.

Harry Kane dan Raheem Sterling juga menemui sasaran sekali lagi apabila skuad Gareth Southgate meledakkan 19 gol dalam empat kemenangan saingan Kumpulan A.

Kosovo mempunyai rekod 15 perlawanan tanpa kalah sejak dua tahun lalu dan telah diberikan permulaan impian dengan mencipta kejutan awal bagi sebuah negara yang hanya diberikan keahlian FIFA tiga tahun lalu.

Hanya dalam masa 35 saat, satu kesilapan Michael Keane telah membolehkan Valon Berisha melepaskan rembatan menewaskan Jordan Pickford dan memberikan pasukan pelawat gol pembukaan.

England kembali bangkit dengan bergaya, sekali lagi menampilkan kepantasan dan serangan yang menjadikan pasukan itu antara pasukan pilihan untuk menjulang Euro 2020.

Pasukan separuh akhir Piala Dunia itu kini mempunyai kelebihan tiga mata di persada Kumpulan A menjelang aksi menentang Republik Czech, yang menang 3-0 di Montenegro. Sementara itu Kosovo tercicir ke kedudukan ketiga, empat mata di belakang. – AFP

Sancho ketika menjaringkan gol kelima England ke atas Kosovo dalam saingan kelayakan Euro 2020. – AP