Thrift Market hujung minggu ini

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 15 SEPT – Berikutan kejayaan penganjuran sebelumnya pada Julai lalu, Green Depot sekali lagi akan menganjurkan acara Thrift Market pada hujung minggu ini, di Bangunan Green Depot yang terletak di Kuala Belait.

Acara yang diadakan buat kali ketiga itu bertujuan untuk membantu mengumpul dana bagi pertubuhan-pertubuhan amal terpilih dengan menjual barang-barang terpakai seperti pakaian, tudung, patung, kasut dan sebagainya yang dikumpulkan menerusi kempen sumbangan.

Selain itu, ia juga diadakan untuk membantu menyemai budaya mengurangkan dan menggunakan semula daripada komponen 3R (kurangkan, guna semula dan kitar semula) dengan membeli barangan terpakai yang masih dalam keadaan baik dan mengurangkan keperluan untuk membeli barangan baharu yang dihasilkan daripada sumber-sumber baharu.

Oleh itu, Green Depot menyatakan bahawa kebanyakan barangan berkenaan mempunyai harga berpatutan sementara yang lain adalah percuma.

Selain itu, selaras dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, para pengunjung perlu mendapatkan pemeriksaan suhu badan serta mengimbas kod QR BruHealth apabila mengunjungi acara berkenaan.

Sebagai projek di bawah Green Brunei dan disokong oleh Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Green Depot bermatlamat untuk menyumbang kepada wawasan dan matlamat negara ke arah sifar sisa.

Sejak penubuhannya pada Disember 2018, pusat berkenaan telah membolehkan masyarakat untuk berjimat menerusi kitar semula sebagai cara untuk mempromosikan usaha pengurusan sisa yang lebih baik sementara menggalakkan tabiat menabung, dengan lebih 36,000kg barang kitar semula daripada lebih 800 pengguna telah dikumpulkan sejak penubuhannya.

Barangan terpakai seperti pakaian, tudung, patung, kasut dan sebagainya yang dikumpulkan menerusi kempen sumbangan.