BERLIN, 22 DIS – Pemain antarabangsa Perancis, Marcus Thuram dikenakan hukuman penggantungan selama enam perlawanan dan denda sebanyak 40,000 euro oleh Persatuan Bola Sepak Jerman kelmarin kerana meludah ke arah pemain lawan semasa kelab Borussia Munchengladbach mengalami kekalahan ke atas Hoffenheim pada hujung minggu.
Penyerang berusia 23 tahun – anak kepada pemenang Piala Dunia 1998 Lillian Thuram – dibuang padang selepas tinjauan video menunjukkan dia meludah ke muka pemain Hoffenheim, Stefan Posch tatkala kedua-dua mereka bertelagah semasa perlawanan Bundesliga.
Gladbach yang bermain dengan 10 orang, Hoffenheim berjaya menjaringkan gol pada lewat perlawanan dan mencatat kemenangan 2-1.
Thuram turut dikenakan denda gaji bulanan, yang akan diberikan kepada badan amal, menurut kelab. Menurut akhbar harian Bild, denda tersebut mungkin berjumlah sekitar 150,000 euro.
“Marcus telah menerimanya dan turut menawarkan untuk menyertai aktiviti amal bagi dirinya,” menurut pengarah sukan, Max Eberl dalam satu kenyataan pada Ahad.
“Saya mengenalinya sebagai seorang yang berperilaku hebat,” kata Eberl. “Dia kekal sama seperti insan yang kami kenali, dan kami akan mempertahankannya.” – AFP






























