Penyanyi Malaysia, Tia Jinbara menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 9:17 malam, semalam.
Memetik dari mStar, Tia atau Shamsul Bakhtiar Zakaria berusia 53 tahun.
Berita pemergian Allahyarham disahkan sendiri oleh isterinya iaitu Suzan Ahmad ketika dihubungi mStar.
Suzan memaklumkan arwah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Shah Alam.
“Ya betul, dekat Hospital Shah Alam dalam pukul 9:17 malam tadi.
“Sekarang saya tengah uruskan dekat hospital,” katanya ketika dihubungi mStar.
Pada minggu lalu, Tia dikejarkan ke Hospital Shah Alam selepas mengadu sakit perut melampau dan sukar bernafas.
Bagaimanapun doktor mengesahkan Tia menghidap kanser hati dan perlu melakukan pembedahan hati dengan kadar segera.
Pada Selasa, Suzan memaklumkan kepada mStar suaminya itu memerlukan RM250,000 bagi melakukan pembedahan hati dengan kadar segera.
Pembedahan itu kata Suzan perlu dilakukan segera bagi mengelakkan sel barah terus melarat.
Menerusi perkongsian di Facebook miliknya, setakat ini Suzan berjaya mengumpul dana daripada orang ramai sebanyak RM11,000 bagi membantu Tia melakukan pembedahan di India.
Pada 1 November lalu, Tia dikejarkan ke Hospital Shah Alam selepas mengadu sakit perut melampau dan sukar bernafas.
Bagaimanapun doktor mengesahkan Tia menghidap kanser hati dan perlu melakukan pembedahan hati dengan kadar segera.
Untuk rekod, Tia sebelum ini pernah popular menerusi kumpulan Jinbara yang ditubuhkan pada tahun 2000.
Jinbara pernah tampil dengan enam album termasuk Pui-Aiya-Hoi, Shing Kuang, Suatu Evoluasi dan Patah Pusing.
Kumpulan itu sebelum ini pernah popular menerusi lagu seperti Farhana, Tolong Orang Tipu Orang dan Kasihnya Laila.
Tia juga pernah menyertai program Gegar Vaganza (GV) musim keempat pada 2017 dan mendapat tempat keenam.
Allahyarham berkahwin dengan Suzan yang juga bekas wartawan Berita Harian pada Mei 2009.