Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei – Bagi memastikan keselamatan masjid-masjid di kawasan kawalannya, anggota Balai Polis Berakas telah menjalankan rondaan pengawasan kejiranan (PK), semalam.
Rondaan diketuai oleh Koperal 3854 Haji Tejuddin dan melibatkan dua orang ahli PK Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Lambak Kanan Kawasan 3 dan ahli PK Kampung Orang Kaya Besar Imas, Berakas.
Rondaan dibuat secara berjalan kaki di setiap kawasan letak kereta masjid-masjid di kawasan jagaan Balai Polis Berakas.

Rondaan yang dijalankan pada jam 7:30 malam hingga 9:50 malam itu, bagaimanapun, tidak mendapati sebarang aktiviti mencurigakan yang menyalahi undang-undang.
PK dilihat mampu melahirkan perpaduan dalam kalangan masyarakat awam, ia juga memainkan peranan besar dan gandingan yang mantap untuk membantu mencegah dan membanteras kegiatan jenayah yang berlaku di kawasan tadahan kampung masing-masing.