MOSCOW, 26 Jun – Jurulatih Perancis, Didier Deschamps berkata bahawa pasukannya akan berjuang habis-habisan dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia menentang Denmark malam ini ketika mereka mahu menamatkan saingan di kedudukan teratas.
Deschamps dijangka melakukan beberapa perubahan bagi perlawanan di Moscow itu dengan Perancis sudah dijamin ke pusingan kalah mati susulan kemenangan ke atas Australia dan Peru.
Denmark hanya memerlukan satu mata lagi untuk menyertai Perancis ke peringkat 16 terakhir, dan juga mampu mengatasi Les Bleus untuk menjuarai Kumpulan C dengan kemenangan.
“Kami tidak akan memberikan mereka sebarang pertolongan. Matlamat kami adalah memastikan tempat pertama dan dua keputusan akan membolehkan perkara itu menjadi kenyataan,” kata Deschamps kepada wartawan di Stadium Luzhniki.

“Saya tidak akan pernah berkata kepada pasukan saya bahawa kami akan bermain untuk mendapatkan seri. Saya mahu pasukan saya keluar tanpa rasa tidak tentu dan melakukan apa sahaja untuk menang dalam perlawanan ini.
“Saya pasti Denmark juga bermain untuk menang.” Deschamps mengakui bahawa dia mungkin merehatkan beberapa orang pemain sebagai langkah berhati-hati daripada penggantungan perlawanan, di mana trio Paul Pogba, Blaise Matuido dan Corentin Tolisso semuanya memiliki kad kuning.
“Saya mempunyai 23 orang pemain, mereka semua mempunyai peranan untuk bermain dan memulakan perlawanan. Tidak ada sebarang risiko, jika mereka di sini itu kerana mereka sudah bersedia untuk bermain,” tambah Deschamps. – AFP

































