Tiada BruHealth boleh walk-in

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Bagi mereka yang belum mendapatkan vaksinasi COVID-19 kerana tidak mempunyai aplikasi BruHealth, mereka dinasihatkan untuk terus sahaja menghadirkan diri ke pusat-pusat vaksinasi untuk mendapat suntikan vaksin COVID-19 dengan segera secara walk-in.

“Walau bagaimanapun, mereka dikehendaki untuk kembali ke rumah masing-masing sebaik sahaja mendapatkan suntikan,” tegas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media hari ini.

Beliau menjelaskan kad vaksin boleh ditunjukkan kepada pegawai penguat kuasa sebagai pengesahan vaksinasi jika diperlukan.

Sementara itu, beliau juga mengongsikan yang Kementerian Kesihatan mengambil maklum mengenai kesulitan yang dihadapi oleh individu-individu yang telah mendapatkan vaksinasi COVID-19 di luar negara namun status vaksinasi mereka belum dapat dikemas kini dalam aplikasi BruHealth.

“Dalam perkara ini, Kementerian Kesihatan memaklumkan orang ramai bahawa usaha sedang giat dilaksanakan untuk membolehkan bukti vaksinasi dari luar negara dapat dimuat naik ke dalam aplikasi BruHealth dan seterusnya status vaksinasi mereka dapat dipaparkan dalam aplikasi tersebut,” jelasnya.

Menurut beliau, insyaAllah ciri baharu tersebut akan dapat mula beroperasi sebelum penghujung tahun ini.

“Sementara menunggu aplikasi BruHealth dikemas kini bagi ciri tersebut, mereka yang menerima vaksinasi di luar negara adalah dinasihatkan untuk membawa kad atau buku vaksinasi sebagai bukti pengesahan vaksinasi mereka,” tambahnya lagi.