Tiada bukti rasuah

SEOUL, 5 Jan – Perbicaraan pendakwaan Presiden Korea Selatan Park Geun-Hye dijalankan hari ini, dengan para peguam beliau mengatakan tidak ada bukti untuk menyokong dakwaan rasuah yang mengancam akan menyingkirkan beliau dari jawatannya.

Parlimen telah mengundi untuk mendakwa Park bulan lalu berhubung skandal menyalahgunakan pengaruh yang telah mengakibatkan beratus-ratus ribu orang pembantah keluar ke jalan raya setiap minggu menuntut penyingkiran beliau.

Park dituduh berpakat sulit dengan rakan karibnya, Choi Soon-Sil, untuk dengan kekerasan mendapatkan derma bernilai berpuluh-puluh juta dolar dari firma-firma terkemuka yang kemudian disalurkan kepada yayasan yang dicurigai. Dia juga dituduh menggunakan pengaruhnya untuk memastikan gabungan dua unit Samsung pada tahun 2015 untuk membantu memudahkan penggantian kuasa ayah kepada anak lelaki dalam keluarga pengasas Samsung.

Perhimpunan Kebangsaan, yang undiannya disokong oleh Mahkamah Perlembagaan, menuduh Park terlibat dalam pencabulan serius perlembagaan pada sesi perbicaraan penuh dalam kes pendakwaan.

Choi Soon-Sil (tengah), rakan Presiden Korea Selatan, muncul semasa hari pertama perbicaraannya di Mahkamah Daerah Tengah Seoul pada 5 Januari. – AFP
Choi Soon-Sil (tengah), rakan Presiden Korea Selatan, muncul semasa hari pertama perbicaraannya di Mahkamah Daerah Tengah Seoul pada 5 Januari. – AFP

“Mahkamah diminta memecat presiden supaya peraturan perlembagaan yang telah terjejas dapat dikembalikan,” kata Kwon Seong-Dong, seorang ahli undangan yang mewakili parlimen.

“Beliau telah mengabaikan tugasnya sebagai ketua negara dan ketua pentadbir negara.”

Perbicaraan awal Mahkamah Perlembagaan Selasa lalu telah dipendekkan selepas Park gagal menghadirkan diri. Ia memutuskan untuk meneruskan hari ini tanpa mengira sama ada beliau hadir. Para peguam Park menggesa mahkamah mengubah undi, dengan mengatakan usul pendakwaan berasaskan ‘kemungkinan besar’ dan menegaskan supaya jawatan presiden beliau dikekalkan segera.

“Tidak ada bukti kukuh untuk menyokong pendakwaan itu,” peguam Park Lee Jung-Hwan memberitahu mahkamah. – AFP