Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Tiada cadangan laksana kajian kebolehlaksanaan rangkaian kereta api

    KUALA LUMPUR, 28 MAC – Kementerian Pengangkutan (MoT) belum mempunyai cadangan untuk melaksanakan kajian kebolehlaksanaan pembinaan rangkaian kereta api yang menghubungkan Sarawak dan Sabah ke ibu kota baharu Indonesia di Kalimantan.

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata sebarang cadangan bagi ketersambungan pengangkutan darat dan udara dari Sarawak dan Sabah ke ibu negara baharu Indonesia itu perlu disokong dengan statistik unjuran penumpang supaya perancangan terperinci dapat disediakan.

    “Di Sarawak, ketika ini tumpuan sedang diberikan kepada penyediaan rangkaian rel bandar di bawah projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) yang diterajui Sarawak Metro.

    “Sementara di Sabah tumpuan sedang diberikan kepada penambahbaikan infrastruktur kereta api serta mutu perkhidmatan kereta api yang diterajui Jabatan Kereta api Negeri Sabah (JKNS),” katanya semasa menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada persidangan Dewan Negara, hari ini.

    Mengenai sebarang projek pembangunan atau menaik taraf mana-mana lapangan terbang, Wee berkata ia perlu dilaksanakan bersandarkan konsep bukti perancangan dalam pembangunan sektor pengangkutan bagi memenuhi keperluan pemasaran.

    “Justeru, adalah penting bagi pihak MoT memastikan bahawa unjuran peningkatan permintaan penumpang adalah tepat bagi membolehkan projek yang dirancang berdaya maju dan berdaya tahan,” katanya.

    Beliau berkata ketika ini, MoT melaksanakan kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) yang meliputi kajian semua pembangunan lapangan terbang dan padang terbang (STOLport) di Malaysia yang dijadualkan akan siap pada pertengahan tahun hadapan selaras Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...