TURIN, ITALI, 16 NOV – Rafael Nadal kelmarin berkata dia ‘akan mati’ mencuba untuk kembali ke tahap terbaik yang menyaksikannya menang gelaran juara Grand Slam 22 kali selepas harapannya untuk memenangi gelaran juara ATP dan menjadi juara nombor satu dunia tahun ini, lenyap.
Pemain berusia 36 tahun itu tewas 6-3, 6-4 kepada Felix Auger-Aliassime di Turin, disusuli dengan kekalahan kepada Taylor Fritz.
Untuk Nadal mara ke final, Fritz perlu menang straight sets mengatasi Casper Ruud pada Selasa.
Namun sebaliknya, apabila Ruud menang 6-3, 4-6, 7-6 (8/6) mengatasi Fritz, ia menandakan pintu keluar untuk Nadal.
Nadal perlu menang dalam final ATP untuk berpeluang menghalang Alcaraz daripada menjadi juara dunia.
“Saya tidak rasa saya sudah lupa bagaimana cara untuk bermain tenis, bagaimana untuk kuatkan mental.
“Saya perlu cari semula perasaan positif dan keyakinan serta kekuatan mental yang saya perlukan untuk berada pada tahap yang saya mahukan. Namun saya tidak tahu jika saya dapat capai tahap itu lagi sekali,” kata Nadal.
Nadal walau bagaimanapun telah memenangi Terbuka Australia dan Terbuka Perancis tahun ini, memuji pemain berusia 19 tahun, Alcaraz, yang tidak dapat beraksi di Turin kerana mengalami kecederaan.
“Syabas untuk Carlos dalam kes ini. Saya gembira untuknya. Pencapaian yang besar. Syabas. Berita yang bagus untuk sukan kita di Sepanyol,” katanya. – AFP