Tiada golongan tercicir – Muhyiddin

PUTRAJAYA, 27 MAC – Ketika negara memerangi wabak COVID-19 dan kesannya terhadap rakyat dan ekonomi negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatan Rakyat berjumlah RM250 bilion bagi manfaat rakyat dengan tiada golongan yang akan tercicir.

Lebih separuh daripada peruntukan iaitu hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat dan meringankan beban yang ditanggung oleh semua rakyat.

“Sama ada anda seorang nelayan di Kukup, Johor atau pekebun kecil di Jeli, Kelantan. Anda pengusaha chalet di Cherating atau penarik beca di Melaka, peniaga pasar malam di Kuala Lumpur atau pasar tamu di Kundasang.

“Anda semua akan menikmati manfaat daripada pakej rangsangan ekonomi yang peduli rakyat ini. Seperti yang saya sebutkan, tiada golongan yang akan tercicir. No one will be left behind,” kata Perdana Menteri ketika membentangkan pakej itu yang disiarkan secara langsung di media elektronik.

Muhyiddin yang mengambil alih tampuk pimpinan negara sejak 1 Mac mengumumkan pemberian tunai secara one-off dengan peruntukan hampir RM10 bilion kepada kumpulan M40 dan ke bawah termasuk pekerja swasta, peneroka Felda, petani, nelayan dan peniaga kecil.   Keutamaan kerajaan pada waktu ini, kata Muhyiddin, adalah untuk membendung penularan wabak itu dan pakej itu menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion kepada Kementerian Kesihatan bagi pembelian peralatan dan perkhidmatan untuk tujuan itu, tambahan kepada peruntukan RM500 juta yang diumumkannya sebelum ini.

Petugas di barisan hadapan memerangi wabak tersebut seperti doktor, jururawat dan kakitangan perubatan akan diberikan tambahan elaun khas daripada RM400 kepada RM600 sebulan mulai 1 April. Malah pesakit wabak itu daripada golongan B40 akan memperoleh bayaran penggantian pendapatan sebanyak RM50 sehari.

Golongan warga emas, kanak-kanak di rumah perlindungan, orang kurang upaya  (OKU), golongan gelandangan dan orang asal  juga tidak ketinggalan dengan RM25 juta diperuntukkan sebagai bantuan makanan, barangan penjagaan kesihatan dan tempat perlindungan untuk mereka. Nasib pekerja swasta pun dibela dan kerajaan tidak mahu melihat mereka dibuang kerja dalam keadaan sukar ketika ini dengan memperkenalkan program subsidi upah bagi membantu majikan mengekalkan pekerja mereka dengan peruntukan RM5.9 bi-lion dijangka memanfaatkan 3.3 juta orang. – Bernama

Norfarah Abd Hamid, 40, dan suaminya Mat Asri Hanafi, 48, berterima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Padang Serai Pokok Sena kelmarin. – Bernama