Tiada impak serius terhadap sektor dagangan, pengisian minyak Singapura

SINGAPURA, 22 APRIL – Tiga agensi Singapura kini memantau rapat perkembangan membabitkan syarikat gergasi perdagangan minyak, Hin Leong Trading Pte Ltd serta sektor perdagangan dan ‘bunker’ atau pengisian minyak.

Antara agensi itu, Enterprise Singapore (ESG) berkata sektor perdagangan minyak republik itu kekal berdaya tahan dalam persekitaran mencabar berikutan penurunan permintaan tenaga global.

“Sektor itu amat pelbagai dengan (penyertaan) lebih 130 syarikat global, serantau dan tempatan utama yang terbabit dalam dagangan produk tenaga,” katanya dalam kenyataan bersama dengan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) dan Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS).

ESG, agensi kerajaan bertanggungjawab dalam pembangunan perusahaan, berkata Singapura juga berperanan sebagai bunker serantau yang penting selain menjadi hab campuran dan pengedaran produk minyak bertapis.

Menurutnya, walaupun Hin Leong berkaitan dengan UT Singapore Services Pte Ltd yang juga pemilik Universal Terminals (UT) menerusi pegangan saham biasa, UT sebaliknya beroperasi secara bebas daripada Hin Leong.– Bernama