Wednesday, April 24, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    ‘Tiada jadual masa untuk kepulangan Sancho’

    LONDON, 6 JAN – Erik ten Hag berkata dia tidak boleh tergesa-gesa dengan kepulangan Jadon Sancho, mengakui tiada jadual masa bila pemain sayap itu akan kembali beraksi untuk Manchester United.

    Sancho, yang menandatangani kontrak dengan nilai perpindahan yang besar dari Borussia Dortmund 18 bulan lalu, tidak beraksi untuk United sejak bermain pada minit ke-52 ketika seri 1-1 di Chelsea pada Oktober lalu dan diketepikan daripada skuad Piala Dunia England.

    Ten Hag berkata bulan lalu pemain berusia 22 tahun itu ‘tidak berada dalam status atau keadaan kecergasan yang baik’ dan dia terlepas dua perlawanan kunjungan United ke Sepanyol, sebaliknya diletakkan dalam program kecergasan individu di Belanda.

    Sancho telah kembali ke tempat latihan kelab di Carrington tetapi penglibatannya setakat ini terhad kepada sesi kumpulan kecil kerana dia menumpukan pada rancangan peribadinya sendiri.

    “Saya inginkan Jadon kembali secepat mungkin, tetapi saya tidak boleh memaksa proses ini,” kata Ten Hag kelmarin.

    Reaksi Erik ten Hag selepas perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris di Old Trafford di Manchester, England, 27 Disember lalu. – AP

    “Saya akan melakukan segala-galanya tetapi terdapat beberapa proses yang awda tidak boleh paksa dan ini adalah salah satu daripadanya.

    “Saya perlu menunjukkan kesabaran walaupun saya tidak mempunyai kesabaran kerana kami kekurangan peluang di barisan hadapan, pemain yang tersedia dan mampu menyumbang bukan sahaja dalam Liga Perdana tetapi pada standard tertinggi dalam bola sepak.

    “Jadon merupakan seorang pemain yang, apabila dia cergas, dia akan menyumbang dan kami akan mempunyai pilihan tambahan menjadikan kami mempunyai lebih banyak peluang untuk memenangi banyak perlawanan.”

    Ten Hag berkata, menjelang perlawanan pusingan ketiga Piala FA United menentang Everton pada Jumaat, dia percaya Sancho berada dalam hala tuju yang betul tetapi masih perlu perbaiki prestasi sebelum dia boleh dianggap bersedia untuk kembali. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...