LONDON, 31 MAC – Pengurus England, Gareth Southgate menegaskan tiada siapa boleh dijamin mendapat tempat dalam skuad ke Piala Dunia negara itu.
Skuad Southgate meningkatkan persiapan mereka ke Piala Dunia dengan menang 3-0 mengatasi Ivory Coast dalam perlawanan persahabatan di Wembley awal semalam.
Dia membuat 10 perubahan selepas menang mengatasi Switzerland pada Sabtu dan melihat dengan lebih dekat sebahagian pemain tidak digunakan sebelum ini bagi memastikan tempat ke Qatar pada November.
Ollie Watkins dan Tyrone Mings, yang kedua-dua sebelum ini sukar berada dalam skuad Piala Dunia, meningkatkan peluang mereka menerusi gol ketika menentang Ivory Coast.
Watkins boleh menjadi sokongan buat Harry Kane di depan manakala Mings adalah calon untuk pertahanan tengah.
Southgate menjangkakan saingan sengit merebut tempat boleh mencetuskan keinginan tinggi buat pemain mencari tempat terakhir dalam skuad.
“Mereka semua boleh melakukannya dan bertarung sesama sendiri dan kami akan memilih mereka yang menunjukkan permainan tahap terbaik dan boleh melakukan tugas,” kata Southgate.
“Kami berada dalam situasi baik kera-na memiliki pemain yang bagus. Awda boleh memberi motivasi buat pemain selaku pengurus, tapi tiada motivasi lebih tinggi daripada dua pemain yang berada di bangku simpanan yang boleh mengambil tempat awda.
“Itulah yang berlaku di kelab besar dan kami mula mendapat saingan itu dalam kebanyakan posisi di padang.” – AFP
