Friday, April 19, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    Tiada jaminan dalam bola sepak

    ABU DHABI, 16 NOV – Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni baru-baru ini menegaskan tiada jaminan dalam bola sepak, sebagai usaha untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi pasukannya menjelang Piala Dunia Qatar.

    La Albiceleste, yang berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam perlawanan persahabatan di Abu Dhabi kelmarin sebelum terbang ke Doha, pada masa ini tidak pernah kalah sepanjang 35 permainan.

    Scaloni, yang membawa Argentina memenangi trofi utama dalam 28 tahun pada Copa America tahun lepas, menamakan skuad 26 pemainnya yang diketuai oleh Lionel Messi pada Jumaat lepas.

    “Kami tiada tekanan kerana hakikatnya ini ialah bola sepak. Kami akan bermain di Piala Dunia. Kami sedar apa makna sukan ini kepada warga Argentina. Oleh sebab itu, kami harus masuk ke padang dan buat hal kami sendiri. Kami harus keluar dan bermain dengan cara yang kami tahu,” kata Scaloni kepada wartawan di ibu kota UAE.

    Scaloni menggunakan contoh pada kejohanan tahun 2002 di Jepun dan Korea Selatan, di mana juara dunia dua kali Argentina tersingkir dalam peringkat kumpulan.

    “Walaupun kecewa atas kekalahan itu, orang ramai masih menganggap bahawa pasukan kami adalah salah satu pasukan terbaik dan tidak layak terkeluar daripada Piala Dunia,” katanya.

    “Tetapi inilah bola sepak. Dan jika kita percaya bahawa kita akan menang dengan tanggapan tersebut, maka ia adalah satu kesilapan.

    “Dan ia telah berlaku, bukan sahaja dengan Argentina, malah dengan pasukan-pasukan lain. Kami akan berikan yang terbaik dan akan cuba untuk pergi sejauh yang boleh,” tambahnya. – AFP

    Lionel Scaloni mengadakan sidang media sebelum perlawanan persahabatan antara Emiriah Arab Bersatu dan Argentina di Abu Dhabi, baru-baru ini. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mula mengundi dalam pilihan raya terbesar dunia

    NEW DELHI, 19 APRIL - Berjuta-juta orang India mula mengundi pada hari ini dalam pilihan raya enam minggu yang merupakan referendum ke atas Narendra...