Tiada kekhuatiran risiko jangkitan barangan import

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JUN – Berikutan dengan maklumat terdapatnya beberapa kes positif jangkitan COVID-19 yang dikesan di Beijing ketika ini, Kementerian Kesihatan menyatakan tidak ada sebarang kekhuatiran mengenai risiko jangkitan bagi barangan import ke negara ini.

“Terdapat beberapa kes jangkitan COVID-19 telah dikesan di Beijing yang mengaitkan dengan lokasi pasaran barangan.

Walau bagaimanapun, ia masih dalam penelitian Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) China untuk mengenal pasti dengan lebih lanjut lagi bagaimana penularan berlaku di sana.”

Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa menjawab persoalan ketika sesi soal jawab pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Jangkitan terhadap kluster baharu dilaporkan dikesan di Beijing di lokasi pasaran barangan import terutama sekali bagi barangan sayur-sayuran, ikan, barang makanan dan seumpamanya.

Walau bagaimanapun, jelasnya lagi, Kementerian Kesihatan akan terus memantau keadaan dan perkembangan terkini mengenainya dari semasa ke semasa.

“Buat masa ini, tidak ada yang dikhuatirkan dari segi makanan yang dibawa dari luar,” tambahnya.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham semasa menjawab persoalan ketika sesi soal jawab pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani