SHAH ALAM, 18 FEB – Peminat badminton tanah air terlepas peluang menyaksikan jaguh perseorangan utama Malaysia, Lee Zii Jia untuk beraksi pada pentas final Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) hari ini, selepas juara Seluruh England 2021 itu tidak berada dalam keadaan sihat selepas perlawanan menentang Jepun, semalam.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi hantaran di Instagram rasmi memaklumkan Zii Jia terpaksa direhatkan, apabila mengalami kesukaran bernafas akibat resdung.
“Selepas perlawanan semalam, Lee Zii Jia menghadapi masalah pernafasan akibat sinus beliau dan tidak pulih sepenuhnya untuk perlawanan hari ini. Semoga cepat sembuh Zii Jia… berikan sokongan awda,” menurut kenyataan itu.
Pasukan lelaki negara hanya selangkah lagi untuk mempertahankan gelaran apabila mara ke final BATC hari ini selepas menewaskan Jepun 3-1 pada perlawanan separuh akhir di Pusat Konvesyen Setia City semalam.
Zii Jia berjaya menyumbang satu mata berharga pada perlawanan itu, apabila dengan mudah menewaskan Kenta Nishimoto, 21-18 dan 21-15.
Zii Jia sebelum ini turut direhatkan pada perlawanan suku akhir menentang Singapura pada Jumaat (16 Feb), selepas dilaporkan turut mengalami masalah sama selepas perlawanan akhir peringkat kumpulan menentang Taiwan pada 15 Februari lalu. – Bernama